KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 32, menyifatkan, pengalamannya menimba ilmu dalam kursus jangka pendek selama seminggu di Universiti Oxford, England, adalah antara momen terbaik buat dirinya buat tahun 2024.
Menurut Uyaina, meskipun tempoh yang singkat, tetapi ia telah meninggalkan satu kenangan manis buat dirinya.
“Seminggu di Universiti Oxford, dan hati saya terasa penuh dengan kebahagiaan.Berjalan di lorong-lorong yang sama, tempat sejarah, ilmu, dan inspirasi bertemu, adalah sesuatu yang sangat luar biasa, seperti sebuah mimpi.
“Setiap kuliah, setiap perbualan, dan setiap saat sunyi untuk refleksi mengingatkan saya bahawa pembelajaran tidak pernah berhenti, ia hanya semakin mendalam.
“Saya sangat bersyukur atas peluang luar biasa ini untuk berkembang, menghadapi cabaran, dan melihat dunia dari perspektif yang baru,”katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Selain itu, kongsi Uyaina, kenangan itu juga lebih manis kerana hari terakhir kelas juga merupakan ulang tahun perkahwinannya dengan suami, Raja Syahiran.
“Sebagai pelengkap, hari terakhir kelas ini juga merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-3. Berkongsi detik istimewa ini dengan cinta hati saya dan menyaksikan semangat serta keazaman yang sama daripadanya membuatkan saya jatuh cinta padanya lebih lagi.
“Bukan itu sahaja, berkongsi pengalaman ini dengan kawan-kawan saya (dan pasangan mereka) serta hubungan erat yang terjalin membuatkan perjalanan pembelajaran ini lebih bermakna.
“Alhamdulillah, syukur atas semua kasih sayang yang menguatkan saya dan pengalaman yang terus membentuk diri saya. Semoga saya dapat meraih lebih banyak pembelajaran, pemahaman, dan perubahan diri. Oxford, kamu benar-benar telah meninggalkan kesan mendalam pada saya,”katanya.
Sebelum ini, Uyaina membuat pengumuman di media sosial bahawa dia mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang keusahawanan di universiti terkemuka dunia tersebut selama seminggu.