KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti sensasi, Nur Fazura, 41, menitip kata luahan buat anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya,4, dan berharap suatu hari nanti puterinya itu akan memahami apa yang sedang dilaluinya pada waktu ini.
Merujuk kepada perpisahannya dengan bekas suami, Fattah Amin, Fazura berkata, dia mungkin tidak dapat menjelaskan situasi itu kepada Fatima namun yakin anaknya itu akan dapat memahaminya kelak apabila sudah dewasa.
“Mommy tahu beberapa bulan kebelakangan ini sangat mencabar untuk kita berdua. Tetapi mommy ingin kamu tahu bahawa mommy amat bersyukur dan bangga dengan hero yang Allah SWT kurniakan kepada mommy, iaitu kamu.
“Kamu telah menyaksikan sisi mommy yang mommy tidak pernah ingin kamu lihat, dan kamu telah menunjukkan kekuatan serta kebebasan yang begitu luar biasa sehingga mommy sendiri terkejut.
“Kata-kata kamu yang menenangkan, ‘Mommy akan rasa lebih baik’ sentiasa membantu mommy untuk melalui segalanya tahun ini, dan mommy berterima kasih kepada Allah setiap hari atas nikmat kita memiliki satu sama lain,”katanya.
Fazura berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Selain itu, tambah pelakon ini, dia juga sama sebagaimana ibu-ibu lain yang mahukan hanya yang terbaik buat anak mereka.
“Andai suatu hari nanti kamu membaca ini, ketahuilah bahawa setiap perkataan mommy adalah ikhlas, dan setiap ibu di dunia ini hanya mahu yang terbaik untuk anak mereka.
“Kebahagiaan dan kesejahteraan kamu adalah sama pentingnya dengan mommy. Terima kasih kerana membenarkan mommy membesarkan kamu dengan sebaik mungkin dalam keadaan penuh kedamaian, kebahagiaan, dan hati mommy yang tidak lagi berpecah belah.
“Mommy mungkin tidak mampu menjelaskan segalanya sekarang, tetapi mommy yakin suatu hari nanti kamu akan faham,”ujarnya.
Dalam pada itu, Fazura juga mendoakan anak perempuannya itu sentiasa dilindungi, dikurniakan hikmah, hidayah, ketenangan, ketenangan, kekuatan, kebahagiaan serta rahmat dariNya.
“Segala yang mommy lakukan untuk kamu sejak hari kamu dilahirkan, mommy ingin terus melakukannya dengan sepenuh hati, dengan izin Allah SWT mudah-mudahan.
“Mommy sayang kamu lebih dari segalanya, dan apabila kamu katakan ‘ i love you all the much’, yakinlah bahawa mommy menyayangi kamu lebih daripada itu,”katanya.
Pada 13 Disember lalu, Fazura mengumumkan telah selesai menjalani tempoh idah selepas sah bercerai dengan bekas suami, Fattah Amin pada 7 Oktober 2024.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.