KUALA LUMPUR : Meskipun sudah bergelar penyanyi selepas meraih gelaran juara program Gimme The Mic anjuran Astro baru-baru ini, Farhan Mustapha, 28, mengakui masih bekerja sebagai penebar roti canai jika mempunyai kelapangan waktu.
Menurut Farhan, dia tidak perlu berasa malu untuk mengakui perkara itu kerana pekerjaan itu halal selain mengingatkan dirinya untuk tidak lupa pada asal usul meskipun sudah melangkah ke dunia glamor kini.
“Saya masih lagi tebar roti canai bila ada masa terluang di kedai mak mentua saya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Saya rasa tak perlu malu untuk mengakui perkara itu kerana tak nak lupa dari mana permulaan saya bergelar artis,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Farhan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pelancaran single terbaharunya iaitu Mutiara Hati di Sudirman Cafe, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Farhan berkata dia mengambil masa dua tahun untuk mempelajari cara menebar roti canai dengan betul.
Malah, Farhan sempat berseloroh dia juga pernah meniru aksi pelawak Wahid yang menebar baju di dalam bilik air menerusi filem Lagi-Lagi Senario.
“Saya ambil masa untuk belajar tebar roti canai dengan betul selama dua tahun.
“Jujurnya saya pernah buat perkara sama dalam babak Wahid tebar baju dalam tandas dalam filem,” selorohnya.
Dalam perkembangan lain, Farhan berharap single terbaharunya berjudul Mutiara Hati mendapat sambutan positif pendengar.
“Semoga lagu Mutiara Hati dapat diterima baik peminat-peminat genre balada.
“Saya harap ia dapat sambutan yang positif meningkatkan lagi kerjaya saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai lagu tersebut, Farhan berkata, ia merupakan single keempat dan telah lama dihasilkan menerusi sentuhan lirik oleh Pak Long DKFA, KrisdaEyda serta gubahan lagu oleh Aiman dan Mac’s Max.
Sementara itu, menurut Pak Long, sebagai penulis lirik lagu Mutiara Hati, dia menaruh kepercayaan penuh kepada bakat Farhan dan menyifatkan pemuda tersebut mampu bergerak lebih jauh sebagai seorang penyanyi dalam bidang seni.
“Saya kenal dia sebelum bergelar juara program tersebut lagi dan ada melihatnya di Tik Tok. Saya lihat, selepas dia menyertai program tersebut bakatnya semakin menyerlah dan boleh pergi jauh.
“Lagu ini juga bersesuaian dengan suaranya. Insya-Allah, selepas Farhan, saya juga ada hasrat nak hasilkan lagu untuk beberapa artis lain,”katanya.