HULU LANGAT : Penyanyi dan komposer, Zul 2By2 tidak menolak kini lebih banyak meneroka peluang di platform media sosial terutama Tik Tok dalam usaha meneruskan perjuangan berkarya selain menyunting bakat-bakat baharu menerusi program nyanyian atas talian yang dikendalikannya.
Menurut penyanyi berusia 52 tahun ini, dia juga bahkan berkongsi bahawa pendapatan yang diperoleh hasil daripada komitmennya sepanjang aktif ‘live’ di TikTok juga sangat memuaskan dengan purata pendapatan mampu mencecah RM45,000 hingga RM50,000.
“Pendapatan di TikTok tidak menentu dan sebab itu saya aktif membuat ‘event online’ seperti TikTok Asia Battle. Sepanjang tiga bulan acara berjalan, boleh dikatakan pendapatan bersih sekitar RM45,000 hingga RM50,000 telah saya raih. Gaji saya datang daripada ‘gift’ yang diberikan oleh pengikut.
“Tapi tidak dinafikan memang penat kerana ia memerlukan komitmen setiap hari selama tiga jam. Banyak aspek yang perlu difikirkan seperti kontent dan penaja, selain kepetahan untuk bercakap.
“TikTok bukanlah pencarian utama, ia sekadar platform untuk terus berkarya. Saya masih aktif menjadi komposer dan membuat lagu untuk penyanyi lain kerana ia memang kerja hakiki,” kongsinya.
Selain itu, Zul berkata, dia juga menolak sebarang tawaran untuk kembali ke pentas nyanyian sebagai peserta demi menjaga kualiti sebagai anak seni.
“Sudah empat kali saya ditawarkan untuk sertai Gegar Vaganza namun semuanya terpaksa ditolak atas kekangan masa dan komitmen kerja.
“Pada waktu itu saya menjadi juri Akademi Asia Indonesia, dan jika menjadi peserta saya pula terpaksa dinilai oleh juri lain yang kebetulan ialah ibu Hetty, yang juga juri Akademi Asia Indonesia ketika itu. Itu antara sebab mengapa saya lebih selesa di belakang tabir.
“Walau bagaimana pun saya tidak akan terima tawaran untuk sebarang pertandingan kerana perlu menjaga standard,” katanya.
Dalam pada itu, dia yang bakal muncul dengan lagu raya berjudul Raya Dah Tiba bersama empat artis bawah naungannya mengakui sedar bahawa lagu raya baharu sukar mendapat tempat di hati peminat.
Bagaimanapun, Zul tetap meletakkan kepercayaan bahawa rezeki adalah milik Allah.
“Tidak dinafikan lagu raya cukup malar segar dan sukar nak ditandingi, Cuma saya hanya mahu menambah katalog lagu raya yang ada. Jika menjadi, Alhamdulillah.
“Hayat lagu raya juga pendek, sekitar dua minggu sahaja. Sama ada jadi atau tidak. Kami hanya mencuba yang terbaik agar lagu Raya Dah Tiba juga dapat menjadi lagu raya yang dimainkan setiap kali musim Aidilfitri.
“Jika sebut sejauh mana lagu ini mampu pergi, memang susah nak jawab. Seperti saya cipta lagu Mewangi, memang tak sangka ia akan meletup kerana bagi saya ia hanya lagu tangkap muat. Jika kita tahu apa yang bakal hit, mudahlah. Tapi kadang kala apa yang kita jangka akan berjaya, tapi sebaliknya.
“Sama juga dengan lagu Malam Semakin Dingin yang dicipta 14 tahun dulu, baru sekarang hit apabila Tajul & Afieq Shazwan menyanyikannya semula. Kita tak boleh jangka rezeki yang datang,”katanya.
Memilih irama joget dan dangdut untuk dilagukan, jelasnya, lagu Raya Dah Tiba, lagu oleh Aiman (zul2by2) dan Anje Maya manakala lirik oleh Paklong DKFA dan KrisdaEydaakan ini dipromosi sepenuhnya di laman TikTok berdasarkan jumlah pengikut yang besar yang dimiliki oleh Maya thegirls, Miss En, Nanad, Hary Ray dan Nayla.
“Tajuk lagu ini ialah Raya Dah Tiba dan mempunyai dua rentak yang berbeza, daripada joget dan transisi ke dangdut. Fokus lagu raya kali ini lebih catchy kerana mudah untuk orang menyanyi bersama.
“Tujuan saya memilih penyanyi dari platform TikTok kerana pengaruh besar yang mereka miliki. Lagu ini akan dipromosi sepenuhnya di laman TikTok oleh barisan penyanyi ini memiliki jumlah pengikut yang cukup besar. Saya percaya dengan kemampuan mereka,”katanya.