JAKARTA :Penyanyi terkemuka Indonesia, Kris Dayanti, meluahkan rasa gembira apabila anak lelakinya, Azriel, menunjukkan minat dalam bidang politik sama sepertinya kini.
Menurut Kris, ia terlihat menerusi tindakan Azriel memilih jurusan Pengajian Politik di Universiti Airlangga (UNAIR) selain minatnya memantau perkembangan semasa dunia politik di negara tersebut.
“Saya terharu dan berasa gembira ada satu anak saya yang tertarik ke bidang politik. Malah, Azriel yang sudah mengambil jurusan politik di UNAIR turut suka mengamati politik di Indonesia
“Kita tahu anak muda sekarang bukan punya keterbatasan, tapi ada yang tidak begitu peduli terhadap politik,”ujar kepada media tempatan.
Selain itu, Kris juga berkata, didikan awal dalam dunia politik sedari awal juga penting terhadap pelapis-pelapis muda demi masa depan sesebuah negara.
“Sekarang ini, dapat dilihat anak muda kita tidak mendapat pendidikan politik yang baik dan mereka jadi tidak begitu peduli.
“Bagi saya, anak muda punya tanggungjawab yang baik dan ya kita berharap mereka dapat jadi pelapis masa depan negara,” jelasnya.
Tambah penyanyi ini lagi, dia bagaimanapun tidak mengharapkan Azriel untuk terus terjun ke bidang politik selepas selesai menamatkan pengajian di universiti berikutan sudah cukup berbangga anak lelakinya itu sekurang-kurangnya memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang itu.
Malah, katanya, ia juga membuktikan bahawa anaknya mampu terlepas daripada bayang-bayang besar kerjaya orang tuanya.
“Sama ada dia terjun ke politik atau tidak, sekurang-kurangnya, dia sudah punya pengetahuan dengan politik Indonesia, begitu juga andai dia minat menceburi bidang itu.
“Paling tidak, dia juga ingin lepas dari bayang-bayang orang tuanya, tampil sebagai jati dirinya sendiri,” katanya.