Konsert Hanya Satu, Nora kenang Allahyarham Johan Nawawi - Utusan Malaysia

Konsert Hanya Satu, Nora kenang Allahyarham Johan Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, menutup tirai tahun 2024 dengan konsert solonya Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac) semalam.

Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan penyanyi kelahiran Kota Bharu ini mempersembahkan 18 lagu popularnya seperti Di Persimpangan Dilema, Samudera, Menyemai Cinta Bersamamu, Naluri, Desa Tercinta, Jentayu, dan Sandiwara.

Nora menyambut kehadiran 500 tetamu ke acara itu, termasuk artis terkenal Ziana Zain, penulis lirik Ahmad Fedtri Yahya, dan komposer veteran Zul Mahat.

Terharu dengan sambutan luar biasa peminat yang hadir, kata Nora, dia dan arwah suaminya, pemuzik serta penerbit album Johan Nawawi telah lama merancang untuk menganjurkan konsert solo sejak sedekad lalu, namun nasib belum menyebelahi mereka.

Justeru, bagi mengenang pengorbanan dan sumbangan arwah Johan yang banyak memainkan peranan penting dalam kerjaya seninya, Nora turut menyediakan sebuah segmen istimewa buat Allahyarham.

“Allahyarham Johan, adalah kekuatan di sebalik kejayaan saya. Beliau memainkan peranan besar menjadikan saya penyanyi seperti hari ini. Semua pencapaian saya adalah hasil usaha beliau,” katanya.

Selain Johan, Nora turut mengenang anak lelakinya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan, yang meninggal dunia pada usia 20 tahun pada tahun 2018 serta anak saudaranya, penyanyi-aktor Nabil Zamanhuri, yang meninggal dunia akibat masalah jantung pada usia 36 tahun, 26 Mei lalu.

“Syakir adalah peminat terbesar saya selain arwah suami saya, manakala Nabil adalah bintang muda yang tampan dan berbakat,” katanya.

Tidak cuma itu, Nora juga berbangga kerana dapat merealisasikan hasrat Allahyarham Johan menerusi kehadiran komposer dan penerbit muzik terkemuka tanah air, Jennifer Thompson.

“Sebenarnya, arwah pernah cakap dengan saya, jika saya mengadakan konsert suatu hari nanti, dia mahukan Jennifer ada. Jadi,saya berterima kasih kerana Jennifer sudi terlibat sama dalam menjayakan konsert ini dan merealisasikan hasrat Allahyarham demi saya.

“Dalam erti kata lain, saya sangat bertuah dikelilingi oleh individu-individu yang menjadi sistem sokongan baru saya,” katanya.

Konsert ini dianjurkan oleh syarikat Nora, Johan Nawawi Sdn Bhd, dengan sokongan kementerian dan MyCreative Ventures.

Thompson bertindak sebagai pengarah persembahan, manakala Aubrey Suwito menjadi pengarah muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya