Jangan kita merasa kalah - Suhaiza Aziz - Utusan Malaysia

Jangan kita merasa kalah – Suhaiza Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah, Suhaiza Aziz, mengakui tetap bersyukur dan positif meskipun filem arahannya, Eva, tidak membawa pulang sebarang trofi di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) baru-baru ini.

Menurut Suhaiza, dia percaya, untuk sesebuah filem itu tersenarai sebagai lima pencalonan terbaik dalam FFM juga sudah membuktikan bahawa naskhah yang dihasilkan telah ‘dipandang’ oleh pihak juri.

“Kita kalah? Tidak, kita dah menang. Top 5 juga adalah pemenang. Kita cuma tidak dipilih sebagai yang terbaik. Inilah yang dikatakan seni itu sangat subjektif.

“Kita tak tahu bagaimana juri menilai sesebuah filem. Tetapi saya sangat berbangga dengan pasukan EVA kerana karya kita juga dipandang oleh pihak juri. Malah, saya tak malu dengan hasil filem pertama sendiri,”katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Pada masa yang sama, Suhaiza berterima kasih dengan penerbit eksekutif, Aminahtul Mardiah Md Nor dan menganggap wanita berkenaan adalah insan yang telah memberikan kesempatan buatnya untuk menghasilkan Eva.

“Dialah insan yang nampak ada ‘kelebihan’ dalam diri saya yang mana saya sendiri tidak tahu.Dia berani dan percaya pada saya untuk menjadi teraju utama filem ini. Bukan sikit duit dia perlu laburkan untuk projek ini.

“Oleh itu, tanggungjawab saya sangat besar dan berat.Maklumlah, duit orang. Apabila orang sudah meletakkan kepercayaan pada kita, jangan kita buat kerja sambil lewa.

“Bagaimanapun nasib saya baik, terima kasih kepada semua barisan pelakon yang terlibat dan sudi membantu, Nadia Aqillah,Nadia Brian dan Shamsul Danish serta semua yang menjayakan. Mereka adalah nadi dalam filem ini.

“Kita sama-sama jadi gila kerana genre filem ini satu genre yang berat. Harus mengkaji dan faham tentang penyakit ini. Niat kita satu, untuk memberi kesedaran mengenai isu kesihatan mental,”katanya.

Dalam pada itu, Suhaiza juga terhutang budi dengan pengarah yang pernah bekerjasama dengannya selama 18 tahun berkecimpungb dalam bidang seni ini.

“Segala ilmu yang saya kutip, saya ambil secara percuma dari anda dan saya aplikasikan dalam kerja seni ini,semoga Allah membalas jasa anda.

“Jangan kita merasa kalah malah tetaplah kita terus berkarya menyampaikan sesuatu kepada masyarakat dalam cara bahasa seni kita.

“Saya ini adalah insan kerdil yang hanya bercita-cita mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama semua sutradara hebat di Malaysia,”katanya.

Filem Eva mendapat pencalonan sebanyak lima kategori sempena penganjuran FFM33 dengan antaranya menyaksikan Suhaiza tercalon dalam kategori Pengarah Harapan.

Bagaimanapun, kategori tersebut telah dimenangi oleh Jin Ong menerusi filem Abang Adik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya