KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi mengakui akibat kesilapan sendiri, dirinya terjerat menjadi mangsa penipuan selepas membuat transaksi pembelian sebuah akaun TikTok.
Abby membuat pengakuan itu menerusi satu hantaran di Instagram dan mendakwa kegiatan tersebut dipercayai dilakukan di luar negara dengan menggunakan taktik aplikasi e-dompet di Malaysia.
“Gigih pagi-pagi buta buat live. Tiba-tiba nampak iklan orang nak jual akaun TikTok, terus nak beli tanpa rasa was-was. Tak sabar! Inilah bahananya.
“Itulah senang sangat terpengaruh. Nak cepat sangat raih follower ramai di TikTok, konon nak beli akaun yang dah ramai rupanya tak semudah itu ya. Kena scam rupanya.
“Kita pun bukan senang nak percaya. Bersoal jawab juga. Minta tukar dulu kata laluan emel semua. Dah tukar baru kita buat pembayaran. Lepas buat pembayaran tiba-tiba log out balik akaun itu. Suami yang tolong bayarkan dari e-wallet dan sekarang dah buat laporan. Tunggu apa e-wallet boleh buat,”katanya.
Tambah Abby, dia terperangkap dalam penipuan ini disebabkan sikapnya yang mudah terpengaruh dan terlalu cepat mempercayai orang.
Bagaimanapun, Abby tidak mendedahkan jumlah kerugian yang dialami.
“Dengarnya penipu ini di luar Malaysia tapi dia bagi e-wallet Malaysia. Begitulah kalau dah penipu bukan. Kitalah bodoh. Anda semua jangan tertipu tau. Tengok perinciannya, jangan terus masukkan duit pada nama itu,”katanya.