KUALA LUMPUR : Pelakon dan pempengaruh media sosial, Zarina Anjoulie, 37, mengakui tidak kisah andai mengetahui terdapat rakan artis lain yang tidak suka dirinya kembali aktif dalam dunia lakonan.
Menurut Zarina, dia tidak peduli keadaan itu kerana menjadi manusia yang penuh kebencian bukan pilihannya.
“Kalau ada yang tak suka itu nasib dialah. Bagi saya, jika awak bangun hari itu untuk rasa teruk, itu pilihan awak. Kalau saya tahu ada rakan artis tak suka saya pun di set, saya akan masih melayan dia dengan baik.
“Saya tahu ada saja yang begitu. Malah depan kita dia akan ‘berlakon’ okey. Tak apa, saya pilih untuk jadi manusia yang positif dan mahu buat baik setiap hari.
“Bagi saya, hidup ini terlalu singkat untuk ktia membenci orang atau sebarkan kebencian. Buat apa?”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, ditanya sama ada dirinya pernah mempunyai pengalaman buruk di set penggambaran,pelakon yang mesra dengan panggilan Anju ini bagaimanapun menafikan perkara itu.
“Setakat ini, Alhamdulillah, saya tak pernah lagi dapat kerja di set penggambaran yang toksik, dari dulu sampailah sekarang. Saya tak tahulah jika orang lain.
“Selama saya terlibat dengan mana-mana produksi, Alhamdulillah rata-rata pasukan sangat baik. Asalkan kita tak beri masalah kepada mereka cukup.
“Contohnya kita sempurnakan kerja dengan baik, datang tepati masa dan jangan menyusahkan orang,”katanya.
Dalam pada itu, Zarina juga mengakui kini mahu melakukan ‘comeback’ dengan sepenuh hati dalam bidang lakonan.
Katanya, selama ini dia tidak dapat berbuat demikian dan terpaksa menolak tawaran-tawaran lakonan yang datang kerana mengutamakan anak tunggalnya, Awangku Gabriel Martin Ezra,8.
“Sebelum ini saya hanya buat cameo sikit-sikit sahaja. Tawaran berlakon sentiasa ada sebenarnya tetapi saya yang tak sampai hati nak tinggalkan Martin sekejao atau lama.
“Tetapi selepas putus cinta hari itu, saya rasa tiba masa untuk saya berlakon betul-betul semula. Ada dapat tawaran daripada kak Eyra Rahman untuk drama bersiri Curang Tanpa Niat, ‘job’ itu pun sampai tahun depan, Alhamdulillah.
“Martin pun sudah makin membesar dan sekarang saya dah ada pembantu, jadi boleh tinggalkan dia di rumah. Tak adalah rasa bersalah sangat kalau keluar bekerja,”katanya.