‘Haramain’ karya Hafiz Hamidun bangkitkan kerinduan dan kecintaan ke Tanah Suci - Utusan Malaysia

‘Haramain’ karya Hafiz Hamidun bangkitkan kerinduan dan kecintaan ke Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi nasyid tersohor tanah air, Hafiz Hamidun, kembali dengan album studio terbarunya bertajuk Haramain. Album ini dihasilkan selepas mendapat inspirasi daripada pengalaman rohaninya di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Kolaborasi kreatif bersama penulis lirik seperti ITO Lara dan Fedtri Yahya menjadikan album ini kaya dengan mesej spiritual dan kecintaan terhadap ibadah.

Hafiz menyifatkan album ini sebagai karya yang membangkitkan rasa kerinduan kepada Tanah Suci, ibadah haji, dan umrah. Lagu seperti Zamzam, yang menampilkan Ruffedge, menjadi penanda aras album ini yang memuatkan 10 lagu, antaranya Batu Hitam, Raudah, dan Arafah. Menurut Hafiz, setiap trek membawa pendengar menyusuri keindahan sejarah Islam dan pengalaman rohani di Mekah serta Madinah.

Selain itu, salah satu lagu yang menjadi sorotan ialah Raudah. Lagu ini menggambarkan pengalaman mendalam Hafiz sewaktu berdoa dan beribadah di Raudah, kawasan istimewa di Masjid Nabawi yang digelar “taman syurga”. Hafiz menerangkan bahawa liriknya mencerminkan kerinduan untuk bertemu Nabi Muhammad SAW di Jannah, manakala korusnya pula sebagai doa penuh pengharapan.

“Raudah membawa mesej yang sangat peribadi buat saya. Ia mengingatkan kita untuk terus berselawat dan menanam cinta kepada Nabi Muhammad SAW,” ujar Hafiz, yang turut menggunakan elemen Timur Tengah dalam komposisi lagu ini.

Album ini dihasilkan selama enam bulan, dengan elemen muzik dirakam di Istanbul bagi memastikan keaslian instrumen Timur Tengah seperti strings, klarinet, dan gambus Turki. Sentuhan muzik ini digabungkan dengan melodi moden, menjadikan album Haramain unik dan relevan.

“Saya mahu album ini menjadi perjalanan hati yang mendekatkan pendengar kepada Allah SWT, bukan sekadar muzik biasa. Ia adalah doa yang dilagukan,” kata Hafiz.

Video muzik album ini menampilkan keindahan Mekah dan Madinah dengan visual sinematik. Hafiz berkongsi bahawa pengalaman rohaninya di Raudah menjadi inspirasi utama dalam penghasilan visual album ini.

“Saya berharap album ini menjadi teman spiritual pendengar, membangkitkan rasa syukur dan cinta kepada Allah SWT. Insya-Allah, saya juga sedang menyiapkan versi terjemahan dalam Bahasa Inggeris, Arab, dan Urdu untuk pasaran antarabangsa,” tambah Hafiz.

Album Haramain kini boleh dinikmati melalui Apple Music, Spotify, YouTube Music, dan semua platform digital utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya