KUALA LUMPUR: Penyanyi dan usahawan sensasi, Ifa Raziah, 49,tidak menyangka gurauan antaranya dengan selebriti media sosial, Kelly Azman, di ruangan komen baru-baru ini telah menimbulkan salah faham di kalangan kaum Iban.
Perkara itu timbul berikutan, Ifa, menyebut perkataan Iban merujuk kepada penampilan Kelly menerusi satu video yang dimuat naik selebriti berkenaan yang kemudiannya didakwa telah menyinggung kaum Iban yang membanjiri ruangan komen di akaun tersebut.
Bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu bagi meleraikan salah faham, Ifa tampil memohon maaf secara terbuka buat semua pihak.
“Pertama sekali saya sangat terkejut. Saya ada komen video Kelly dan perkara itu sudah berlaku enam minggu yang lepas. Saya tak sangka ia menjadi tular tiga hari yang lalu dan ketika itu saya berada di Singapura.
“Saya tak tahu apa benda yang mereka tulis dan komen di video itu dan rupanya berkenaan komen saya yang terkejut tengok video Kelly menyanyi. Saya tulis komen ‘Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat’.
“Sebenarnya saya dan Kelly sahabat baik. Bila kami bergurau, saya tak bermaksud apa-apa apatah lagi berniat nak ‘body shaming’, ‘face shaming’ dan lain-lain. Pertama kali tengok video itu, saya nampak ‘head gear’ yang berada di atas kepala. Sangat cantik!”katanya.
Ifa berkata demikian semasa ditemui di ruangan lobi sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Selain itu, Ifa berkata, dia tidak pernah bercakap buruk atau melakukan perkara yang tidak baik terutama melibatkan isu perkauman.
“Setahu saya orang Borneo orang yang paling cantik. Kawan saya ramai orang Sarawak dan Sabah. Mereka terdiri daripada pelbagai kelompok etnik. Tak akan saya nak main sentimen perkauman?
“Tak ada sedikit mengenai perkara itu terniat di hati saya. Maksud saya, Kelly pakai bunga-bunga atas kepala. Pandangan mata saya, orang semenanjung tak pakai macam itu. Kedua, bila Kelly menyanyi macam tak tentu arah. Itu maksud saya. Demi Allah, semua itu telah disalah ertikan.
“Saya tunggu balik dari Singapura dan mahu buat penjelasan. Hari ini (Rabu) masa yang sesuai untuk saya jelaskan. Sebab itu saya tak buat live atau apa-apa,”katanya.
Bagaimanapun, Ifa tidak menolak sehingga kini masih menerima kata makian di media sosial akibat salah faham tersebut namun memohon agar isu ini tidak lagi dipanjangkan.
“Saya baca komen tetapi saya tak faham, mungkin mereka maki saya. Untuk orang Borneo, Sabah, Sarawak dan orang Iban, demi Allah saya ini orang Islam. Saya susun sepuluh jari dan mohon maaf. Saya harap penjelasan ini dapat tutup isu yang berlaku dan tidak dipanjangkan.
“Saya tak ada niat, tak sengaja. Hanya gurauan antara saya dengan sahabat baik saya. Orang mungkin salah faham. Bagi kami, ini perkara biasa. Kalau saya jahat, saya boleh berdiam peluk tubuh.
“Tetapi saya tak buat benda yang salah macam itu. Itu sebab saya berani tampil beri penjelasan. Harap semua boleh terima penjelasan saya,”katanya.
Terdahulu, komen Ifa dikongsikan seorang pengguna aplikasi Threads yang memuat naik tangkap layar hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.
Komen itu menyebabkan pemilik akaun Threads terbabit mempersoalkan tindakan Ifa yang dianggap tidak menghormati etnik kaum di Sarawak.
Rata-rata netizen meninggalkan komen kesal dengan tindakan Ifa kerana kurang peka mengenai sensitiviti kaum.