KUALA LUMPUR : Selepas mencipta kejayaan besar di Malaysia, Brunei, dan Pakistan, filem seram Anak Perjanjian Syaitan 2 kini mula menerjah pasaran Kemboja bermula hari ini.
Filem yang membawa versi terjemahan bahasa Khmer ini sebelumnya telah membuktikan kejayaan gemilang di peringkat antarabangsa apabila ditayangkan di Pakistan pada 1 November 2024 dengan judul Gunah, yang bermaksud dosa.
Tayangan tersebut mendapat sambutan hangat dan berjaya mencatatkan jumlah tontonan yang tinggi di 38 pawagam di seluruh Pakistan.
Khabar baik itu telah disambut dengan baik oleh pengarah tersohor, Dr. Ahmad Idham yang menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar buat filem tempatan yang mampu menjengah pasaran antarabangsa.
“Penayangan Anak Perjanjian Syaitan 2 di Kemboja menandakan satu lagi kejayaan besar bagi industri perfileman Malaysia. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara Grand Brilliance Studios dan Primeworks Studios yang terus berusaha membawa karya tempatan ke pentas global.
“Kami berharap filem ini akan diterima baik oleh penonton di Kemboja dan terus mengangkat nama Malaysia dalam dunia perfileman antarabangsa,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi 8TV Pengedaran Filem & Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima, Kevin Foo berkata, pihaknya juga berbangga kerana kejayaan ini juga mencerminkan usaha keras seluruh tenaga produksi sepanjang pembikinannya.
“Ini adalah satu pencapaian besar bagi kami, yang mencerminkan dedikasi dan usaha keras semua pihak yang terlibat dalam produksi ini.
“Kami yakin filem ini akan memberikan pengalaman seram yang luar biasa kepada penonton di Kemboja dan terus mengukuhkan kedudukan filem Malaysia di peringkat global,”ujarnya.
Dibintangi oleh Eyka Farhana sebagai Azlinda bersama pelakon ternama Alif Satar dan Fasha Sandha, filem ini membawa kisah mendalam tentang perjuangan seorang wanita muda melawan kuasa ghaib yang menghantuinya sejak kecil.
Watak Azlinda juga disokong oleh barisan pelakon berbakat seperti Azlan Komeng, Dian P. Ramlee, Azizah Mahzan, dan Shaharuddin Thamby, yang memberikan persembahan mantap dan emosi yang mendalam.
Lagu runut bunyi filem ini, bertajuk Murka atau Cinta, dinyanyikan oleh Puteri Khareeza, menambahkan elemen mistik dan kerohanian ke dalam pengalaman filem.
Lagu ini telah mendapat sambutan hangat di pelbagai platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, sekaligus menjadi salah satu faktor yang memperkuat daya tarikan filem ini.
Filem ini mengisahkan perjalanan Azlinda, seorang wanita muda yang didiagnosis dengan anxiety disorder namun yakin bahawa gangguan yang dialaminya berkait rapat dengan perjanjian mistik yang dibuat oleh ibu bapanya.
Melalui penceritaan yang penuh debaran dan elemen mistik yang menyelubungi, filem ini membawa penonton menyelami perjuangan Azlinda melawan kuasa ghaib yang mengancam nyawanya dan masa depannya.