KUALA LUMPUR : Berjaya mencatatkan sebanyak 6.6 juta tontonan sepanjang tiga bulan tayangan bermula September sehingga November lalu, aktor sensasi, Fattah Amin berbangga kerana kempen Tabik Wira mencapai sasarannya.
Menurut Fattah, dia juga gembira kerana kempen itu yang menyaksikan inisiatif Fattah Amin Management dan Menteri Pertahanan, Datuk med Khaled Nordin itu mampu memupuk usaha meningkatkan semangat patriotisme, menghargai jasa wira-wira negara termasuk kreativiti serta inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sebagai anak seni, saya berbesar hati dapat memainkan peranan menanam semangat cintakan negara dan menghargai jasa Angkatan Tentera Malaysia, tunjang keselamatan dan kedaulatan negara menerusi kempen Tabik Wira.
“Melihat kepada sambutan orang awam yang luar biasa memberi saya harapan bahawa kita semua boleh bersatu dalam menghormati wira negara kita. Kempen ini berjaya membuka ruang untuk masyarakat lebih mengenali dan menghargai pengorbanan anggota tentera.
“Kerjasama antara pempenagruh dan MINDEF dalam kempen ini benar-benar membuktikan bahawa apabila kita bergabung tenaga, kita boleh memberikan impak yang jauh lebih besar. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini,” katanya.
Terdahulu, Fattah hadir ke Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kempen Tabik Wira Kita yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman di Auditorium Wisma Pertahanan.
Pada majlis tersebut, seramai tiga pemenang video kreatif telah diumumkan menerusi pengannjuran kempen tersebut.
Tempat pertama dimenangi Muhammad Rashide Roziman, tempat kedua dimenangi Mohd Hasmizan Hashim, manakala tempat ketiga dimenangi Muhammad Aniq Qawiem Mohamad Sazaly yang mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000, RM4,000 dan RM2,000.