SHAH ALAM: Pelakon sensasi, Ruhainies, mengakui tidak terkesan dilabel menunggang agama dan tetap akan meneruskan berselawat walaupun sudah melepasi tempoh 40 hari sebagaimana yang disasarkan.
Menurut Ruhainies, ibunya berpesan agar usah berhenti meneruskan amalan baik itu bahkan berselawat dapat mengelak fikirannya terganggu dengan perkara negatif.
“Sebenarnya saya sudah melepasi sasaran 40 hari berselawat tetapi ibu menyarankan agar meneruskan amalan itu kerana ia bukan sahaja mendatangkan pahala malah mampu memberikan ketenangan.
“Daripada memikirkan perkara tidak elok, apabila berselawat saya dapat elakkan diri daripada hal-hal negatif,”katanya.
Ruhainis berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia dalam sebuah majlis makan malam, semalam.
Selain itu, Ruhainies berkata, dia tidak menafikan sentiasa membawa alat zikir digital ke mana-mana yang dikatakan sebagai teman akrabnya sekarang.
Dia mengakui bahawa masih ada yang skeptikal terhadap amalan baik yang dilakukan sebaliknya hanya fokus kepada diri sendiri.
“Saya tahu ada yang mempertikaikan amalan berselawat yang saya lakukan ini. Tetapi terpulanglah kepada pandangan masing-masing.
“Rutin itu sudah jadi sebahagian daripada kehidupan saya sehari-hari. Kalau tak buat sehari rasa macam tak lengkap,”katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia ada menghadiri kelas agama sebagai inisiatif, kata Ruhainies, dia cuma mengikuti kelas secara atas talian.
“Saya ada sertai kelas agama tetapi secara atad talian. Bukan tak nak sertai majlis ilmu sebab ada juga kawan yang mempelawa tetapi saya tak mahu kerana lebih selesa menjaga privasi.
“Kalau boleh tak nak ada kamera (tak mahu menunjuk). Biarlah urusan mengejar ilmu akhirat itu antara saya dan Allah sahaja,”katanya.
Nama Ruhainies menjadi antara artis paling panas tahun ini berikutan terpalit dengan kontroversi khalwat bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, sebelum ini.
Sekali gus, biarpun kejadian itu sudah berlalu pada Mac, pelakon drama Terjerat itu terus berdepan dengan kecaman setiap kali memuat naik hantaran di media sosial termasuk amalan berselawat yang dilakukan kini.