KUALA LUMPUR : Sehari melangkah ke tahun baharu, penyanyi, Baby Shima, mendedahkan, dirinya menerima ugutan bunuh menerusi satu hantaran yang dibuat oleh seorang individu di media sosial.
Menurut Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 32, ugutan tersebut dilakukan oleh seorang individu yang tidak dikenali dipercayai berasal dari Sarawak.
“Saya baru menerima satu ugutan bunuh dari orang sarawak. Mohon kerjasama polis Sarawak dan Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ),”tulisnya ringkas di ruangan kapsyen dalam satu hantaran di Instagram, semalam.
Menerusi hantaran yang sama, Shima turut memuat naik tangkap layar komen berbentuk ugutan yang diterima olehnya.
Komen tersebut menggambarkan individu berkenaan sangat marah apabila Shima berkunjung ke negeri itu.
Menerusi satu lagi hantaran yang dibuat Shima, penyanyi lagu Bujang Sarawak ini turut berterima kasih kepada Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri tiong King Sing yang telah hadir ke balai polis Sibu sekitar pukul 2 pagi untuk membantu mengenai perkara tersebut.
Dalam pada itu, Shima turut mendedahkan akaun individu terbabit yang menggunapakai nama Mel Maxpherson Munded.
Sementara itu, di ruangan komen Shima turut menerima kata-kata semangat daripada pengikut dan peminat yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan dirinya.