KUALA LUMPUR: Gara-gara mengalami masalah resdung yang agak teruk, elakon dan pengacara, Janna Nick terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan termasuk menjalani prosedur pembedahan.
Perkara itu dikongsikan Janna di akaun Tik Toknya selain memaklumkan dia mengalami masalah tersebut selepas menjalani penggambaran sebuah program dengan seekor kucing.
“Ini pertama kali dalam hidup saya perlu buat pembedahan, yang pastinya saya masuk hospital bukan sebab mengandung.
“Sebelum ini saya ada jalani penggambaran dengan kucing. Ia telah menyebabkan hidung saya menjadi sangat teruk sampai masuk hospital,”katanya.
Bagaimanapun, menurut pengacara program Famili Duo ini, dia masih menunggu untuk menjalani pembedahan berikutan terdapat jangkitan pada paru-parunya.
“Saya kena buang tulang sikit sebab bengkok tapi belum pembedahan lagi sebab ada jangkitan dekat paru-paru, jadi belum sesuai lagi untuk buat pembedahan.
“Sinus yang saya alami ini agak kronik. Resdung adalah masalah yang besar juga terutama apabila hilang nikmat rasa dan bau,”katanya.