KUALA LUMPUR : Mengenang kembali perjalanan seninya, penyanyi terkenal, Yuna, mendedahkan sekitar 15 tahun lalu dia pernah bertindak ponteng kelas semata-mata mahu menyertai sesi uji bakat program One In a Million (OIAM).
Menurut Yuna, kehadirannya ke program tersebut tanpa berbekalkan sebarang pengalaman berada di depan kamera mahu pun sebagai seorang artis.
“Sekitar 15 tahun lalu, saya yang merupakan seorang pelajar jurusan undang-undang, sanggup ponteng kelas sebab mahu menghadiri sesi uji bakat OIAM. Saya tidak mempunyai pengalaman langsung berada di depan kamera apatah lagi sebagai seorang artis.
“Saya hadir dengan memakai apa sahaja pakaian yang ada sebab ketika itu, pada awalnya, saya memang nak pergi ke kelas. Boleh cari semula apa yang saya pakai itu jika anda buat carian di Internet.
“Saya telah diterima masuk tetapi tersingkir sebelum pusingan persembahan di pentas. Selepas itu, saya pulang ke rumah, ambil gitar dan tulis lagu berjudul Greek Goddess dan Deeper Conversation,”katanya.
Selain itu, kongsi Yuna, dia juga begitu mengagumi penyanyi terkemuka, Ziana Zain dan mengakui sangat berbesar hati dapat berada sebaris dengannya ketika dijemput menjadi juri undangan pada program OIAM minggu lalu.
“Saya sangat meminati Ziana Zain. Saya tak pernah mengagumi seseorang seperti itu.
“Tetapi apabila anda ialah seorang wanita yang membesar di Malaysia pada tahun 90-an dan menonton pula filem Maria Mariana, anda pasti akan terpegun juga bila berjumpa dengan Ziana Zain,”katanya.
Dalam pada itu, Yuna juga memberi kata semangat buat barisan peserta program dalam perjuangan mereka merebut gelaran juara.
“Tahniah buat semua peserta yang berjaya mara ke pusingan seterusnya. Buat mereka yang tak dapat teruskan, jangan bersedih, saya pun begitu dulu.
“Jangan gusar kerana pengakhiran sesuatu itu adalah permulaan kepada sebuah lagi babak dan tentunya ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan.
“Saya percaya anda semua berbakat dan teruskan berkarya,”katanya.