KUALA LUMPUR: Penyanyi muda berbakat, Wani Kayrie, kembali memeriahkan industri muzik selepas lebih setahun berhiatus dengan single terbarunya yang berjudul ‘Aiman Tino’.
Lagu yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment ini mendapat sentuhan magis daripada komposer terkenal, Ezra Kong.
Wani menjelaskan bahawa lagu ini mengisahkan perasaan seseorang yang menyukai lelaki berimej comel dan sempurna seperti Aiman Tino, dengan rentak rancak dan lirik ‘catchy’ yang mudah diingati pendengar.
“Wani juga berbincang bersama Ezra Kong untuk menambahkan sedikit elemen kemelayuan pada ‘bridge’ lagu ini bagi membezakan identiti Wani berbanding lagu-lagu sebeleum ini.” katanya apabila ditanya mengenai keistimewaan lagu ini.
Menurutnya, selain rentak lagu yang berkonsepkan rancak dan ‘happy’, dia juga berharap bahawa lagu ini dapat memberikan kesan yang positif kepada pendengar.
Wani juga meluahkan rasa syukur dan teruja kerana dapat bekerjasama dengan Ezra Kong, seorang penggubah lagu yang berbakat besar dan terkenal dengan karya-karya inovatif serta pernah memenangi pelbagai anugerah di Anugerah Juara Lagu.
Menurut ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, Wani kayrie adalah pilihan ideal untuk membawakan lagu ‘Aiman Tino’ kerana versatiliti dan bakatnya yang mampu menguasai pelbagai genre.
Single ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 1 November 2024, termasuk dalam format Dolby Atmos di Apple Music, serta video muzik eksklusifnya akan dilancarkan pada 25 November di saluran YouTube Wani Kayrie TV.