Tiada kaitan dengan istilah menunggang agama - Jasper - Utusan Malaysia

Tiada kaitan dengan istilah menunggang agama – Jasper

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Jasper Supayah, 31, menegaskan, tindakannya menghasilkan single berjudul Insya-Allah (Lagu Buat Cinta) bukan untuk mencuit sensitiviti mana-mana pihak apa lagi terpalit dengan istilah menunggang agama.

Menurut Jasper, meskipun dirinya bukan seorang Melayu beragama Islam, dia percaya Insya-Allah merupakan perkataan bahasa arab bersifat universal yang boleh diguna pakai semua individu.

“Saya banyak sahaja guna atau terbiasa bercakap dengan menggunakan beberapa terma Arab-Melayu dalam percakapan harian. Macam memberi salam, Assalamualaikum, Insya-Allah. Malah, saya juga dibesarkan dengan kawan-kawan berbangsa Melayu.

“Tetapi, sebelum orang nak kecam, saya sendiri tahu bahawa perkataan Insya-Allah itu membawa maksud ‘dengan izin Allah (Tuhan) dalam bahasa Arab. Jadi, saya rasa ia tidak memunculkan apa-apa konflik.

“Bagi saya, semua orang bebas boleh guna atau cakap apa-apa bahasa. Tak ada istilah saya nak cuba sentuh sensitiviti mana-mana pihak, menghina atau memburukkan agama lain. Tiada kaitan pun dengan istilah nak menunggang agama,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, kata Jasper, dia juga tidak menolak bahawa sehingga kini, masih ramai yang tidak perasan bahawa dirinya merupakan seorang pelakon berdarah kacukan Cina-India meskipun kehadirannya dalam industri sudah menjangkau usia lapan tahun.

“Ramai sahaja yang tak perasan yang saya ini bukan Melayu Islam. Orang tak tahu saya seorang Cindian (Cina-India). Mungkin wajah saya ini selain saya yang memang bercakap pu fasih macam orang Melayu sejati.

“Tak tersinggung pun, saya selesa sahaja dikenali begini,”katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai single Insya-Allah (Lagu Buat Cinta) tersebut, kata Jasper, dia sanggup berhabis wang berjumlah RM20,000 semata-mata mahu merealisasikan hasrat menghasilkan lagu sendiri.

Katanya, dia mahu meraih pengalaman bagaimana menghasilkan lagu daripada awal hingga akhir proses pembikinan dengan usaha sendiri.

“Ini merupakan kali pertama saya mengeluarkan belanja besar untuk hasilkan lagu sendiri. Ia satu pengalaman yang amat berharga buat saya. Daripada menulis lirik, gubah lagu, tentukan konsep dan hasilkan video muzik, semua saya buat sendiri.

“Saya juga bersyukur kerana rakan-rakan terdekat dalam industri turut sudi membantu. Saya juga berkeras nak buat juga lagu ini sebab mahu mencabar diri.

“Selama ini, saya selalu sangat mengharap pada orang lain dan sampai satu tahap saya sedar kalau mahukan sesuatu, saya kena buat sendiri. Bila dapat raih sendiri pengalaman itu, rasa puas dan terasa bahawa segala hasil usaha itu sangat bermakna,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya