PETALING JAYA: “Tipulah kalau tidak terasa, kita manusia biasa.”
Demikian kata penyanyi Thamiera Chan ketika mengulas mengenai isu dia dan sepupunya, Didi Astillah menerima kritikan pedas daripada Mas Idayu selaku juri tetap di program Famili Duo, Ahad lalu.
Menurut Thamiera, dia tidak berdendam dengan penyanyi dangdut itu sebaliknya mengakui dirinya terlalu sensitif ketika menerima kritikan tersebut.
“Saya terasa tapi tidaklah marah atau dendam. Cuma saya terasa sebab saya artis baharu, bila kena marah ketika itu jadi sedih sebab saya berhati tisu,” katanya
Dalam masa sama, penyanyi kumpulan The Gadys itu sempat memberitahu bahawa mereka pulang awal pada malam pertandingan tersebug kerana masalah yang tudak dapat dielakkan.
“Kami pulang awal pada malam itu kerana ada hal yang tak dapat dielak. Didi tentang konsert Sumandak Stars dia, saya sebab masalah terasa hati itu. Tapi minggu ini kami cuba buat yang lebih baik,” jelasnya.
Thamiera berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pembukaan kedai AKEMI Flagship di Sunway Piramid, pada Jumaat.
Tetap profesional meskipun dimarahi juri tetap program realiti tersebut, Thamiera menyifatkan Mas Idayu seorang yang baik bahkan dia sempat memberi nasihat dan kata-kata semangat buat pasangan duo itu.
“Kami tidak berhubung dengan Mummy. Tetapi dia ada pesan kepada saya dan Didi untuk buat yang terbaik saja, jangan pernah putus asa. Mummy seorang yang baik tapi ketika itu saja saya terasa,” jelasnya.
Pada Ahad lalu, pasangan duo sepupu, Thamiera dan Didi Astillah membawa lagu medley Bang Jono oleh Zaskia Gotik, Goyang Duma nyanyian Cita Citata dan Senggol-Senggolan nyanyian asal Mas Idayu.
Mengulas mengenai penglibatannya di pelancaran Kedai AKEMI di Sunway Pyramid, Thamiera bersama dua lagi anggota The Gadys, Ayunie Rizal dan Aznie Azmi tampil memperagakan pakaian yang diperbuat daripada produk hiasan rumah yang dijual di kedai tersebut hasil rekaan pereka fesyen, Masyadi Mansoor.
Selain The Gadys, majlis pelancaran kedai tersebut turut diserikan dengan kehadiran artis di bawah naungan Universal Music Malaysia & Alternate Records seperti Shi En & Dukes, Ezra Kairo, dan Julia Duclos. -UTUSAN