KUALA LUMPUR: Melihat kepada banyaknya isu curang yang berlaku pada masa kini, penyanyi dan penulis lagu, Osem Han, mengakui, ia menjadi pencetus idea buatnya untuk menghasilkan lagu berjudul Masih Bisakah.
Menurut Osem, karya tersebut tercipta sebagai refleksi terhadap realiti kehidupan rumah tangga yang tidak selalu indah terutama apabila wujudnya media sosial yang memberi ruang kepada lebih banyak masalah peribadi untuk dibincangkan secara terbuka.
“Terlalu banyak isu perceraian sekarang ini. Mungkin dulu kita jarang mendengar tentang masalah rumah tangga secara terbuka, tetapi dengan media sosial, isu ini semakin meluas dan mendapat perhatian ramai.
“Itulah sebabnya saya menghasilkan lagu ini, untuk memberi pengajaran dan membuka mata tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam hubungan berpasangan,”katanya.
Selain itu, Osem berkata, lagu Masih Bisakah sangat dekat dengan pengalamannya sendiri.
“Mungkin ada kaitannya dengan kehidupan saya dan isteri. Saya ingin memberi peringatan bahawa dalam perkahwinan, tidak semuanya sempurna. Ada fasa-fasa indah, tetapi ada juga cabaran besar yang perlu dihadapi bersama.
“Lagu ini sengaja saya biarkan ‘tergantung’ tanpa penyelesaian yang jelas, menggambarkan bahawa jawapan sebenar bagi setiap pasangan ada dalam diri mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Osem berkata, dia berusaha untuk tidak menjadikan Masih Bisakah sebuah lagu yang terlalu klise atau romantik dan sebaliknya mahu ia lebih terarah kepada sentuhan realistik yang mencerminkan kehidupan sebenar.
“Saya cuba elakkan lagu ini daripada menjadi terlalu ‘lovey-dovey’. Ini adalah tentang realiti hidup. Saya mahu pendengar rasa seolah-olah mereka sedang bercakap tentang kehidupan mereka sendiri,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Osem menyatakan bahawa dia tidak lagi terlalu mementingkan populariti atau pengikut kerana mahu berusaha untuk memberi karya yang lebih bermakna dan diterima oleh masyarakat.
“Saya tak tahu ada peminat ke tidak, tapi saya akan berusaha sehingga orang suka lagu saya. Kalau dulu saya hanya mengikut citarasa sendiri, kali ini saya cuba untuk membuat sesuatu yang lebih sesuai dengan citarasa pendengar,”katanya.