KUALA LUMPUR: Maestro muzik terkemuka tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, di sini, pada kira-kira kam 3.15 petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh cucunya, Khairul Hafis Khan. Hafis memaklumkan datuknya Ahmad Nawab atau nama sebenar, Ahmad Khan Nawab Khan tidak mempunyai sakit kronik.
Bagaimanapun, kata Hafis, keadaannya lemah selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.
“Bulan lepas kami ada bawa arwah pergi IJN sebab sesak nafas selepas keluar keadaan okay tapi agak lemah.
“Tadi selepas dia ke tandas, dia lemah dan tak sedar. Emak saya telefon suruh datang dan saya sampai saja dia sudah tiada. Kalau nak kata dia sakit kronik, tiada,” katanya.
Hafis memaklumkan Allahyarham Ahmad Nawab mungkin akan dikebumikan esok pagi.
“Jenazah akan dikebumikan Insya-Allah esok pagi, kemungkinan di tanah perkuburan di Taman Samudera,” katanya.
Lebih 70 tahun bergelar anak seni dan telah menghasilkan lebih 2,000 karya malar segar dengan kira-kira 200 buah album, Datuk Seri Ahmad Nawab merupakan seorang seniman yang banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan industri muzik di Malaysia.
Meskipun usianya sudah menjangkau 92 tahun, namun minatnya dalam bidang muzik tidak pernah padam malah beliau masih lagi aktif untuk terus menghasilkan lagu-lagu baharu.
Antara artis-artis tempatan dan luar negara yang popular dan berbakat besar yang pernah mendendangkan lagu dan karya Allahyarham seperti Uji Rashid, Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram, Broery Marantika dan ramai lagi.
Ketika hayat, Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun.
Ahmad Nawab juga telah memenangi banyak anugerah dan antaranya Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.
Anugerah tertinggi yang pernah diraih oleh Allahyarham ialah menerusi Anugerah Seniman Negara pada tahun 2006.