KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Khadijah, mengakui gelaran artis bebas kontroversi memberi kebimbangan buat dirinya sebagai seorang anak seni.
Ini kerana, kata pelakon drama From Saga With Love ini, sebagai manusia biasa, dia tidak mampu memberi jaminan bahawa dirinya mampu bebas atau kalis kontroversi pada setiap masa.
“Saya ini bukanlah tak ada kontroversi langsung, adalah juga tetapi semua itu bukanlah apa yang saya minta. Kalau boleh, saya nak elakkan kontroversi. Macam apa yang orang kata, kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi.
“Kalau boleh saya nak jauhkan diri daripada kontroversi. Apa yang baik boleh ikut, yang tidak baik, jangan ikut. Saya tak pernah rasa diri ini bebas kontroversi atau bersih daripadanya, saya tak pernah cakap.
“Itu semua orang yang cakap. Saya ini cukup takut dengan label sebegitu. Takut andai suatu hari nanti saya terduduk, kita tak tahu. Saya tak nak cakap lebih-lebih. Kalau itu sebagai doa yang baik saya ucap terima kasih sahaja,”katanya.
Dalam pada itu, Siti Khadijah memaklumkan, jadual kerjanya juga pada waktu ini sangat padat dengan fokus utamanya pada aktiviti mempromosi drama terbaharu lakonannya.
Pada waktu yang sama, Siti Khadijah berkata, dia juga menerima tawaran-tawaran lain seperi penampilan ke acara hiburan dan sebagainya.
“Jujurnya, sangat penat sebab buat masa ini, saya memang pulun segala kerja atau projek yang boleh dilakukan. Itu sudah namanya kerja bukan?
“Jadi, bila sibuk, memang pada kebanyakan waktu saya tak sempat nak jaga makan sangat. Kadang-kadang saya makan pun ala kadar. Ia tidak sihat tetapi nak buat macam mana pekerjaaan saya sekarang pun memang sangat sibuk.
“Tetapi, saya harap janganlah contohi cara saya ini. Buat anda semua, tolong jaga diri dan jaga kesihatan ya,”katanya.