Suka bergurau, Allahyarham S Atan sudah macam keluarga - Liza Abdullah - Utusan Malaysia

Suka bergurau, Allahyarham S Atan sudah macam keluarga – Liza Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG : Pelakon dan penyanyi, Liza Abdullah, 60, mengakui sukar menepis perasaan sedih mengenangkan pemergian komposer terkemuka tanah air, Allahyarham Datuk S Atan yang meninggal dunia di usia 75 tahun.

Menurut Liza, persahabatannya dengan komposer tersebut telah terjalin sejak era 70-an bahkan mengakui mereka berkawan sejak dirinya masih belum mendirikan rumah tangga.

“Saya mengenali arwah sejak zaman saya belum berkahwin lagi waktu muda-muda dahulu. Balu arwah, Datin Norizan Yeob sebenarnya merupakan sahabat lama saya.

“Masa zaman muda, saya selalulah bawa Norizan menemani saya dalam industri seni sampai ke Singapura saya bawa dia. Secara tak langsung, saya juga kenalkan Norizan kepada arwah.

“Kalau nak tahu juga, arwahlah yang kenalkan saya dengan bekas suami sebelum ini. Meskipun saya sudah tidak lagi bersama bekas suami, hubungan akrab dengan S Atan tak pernah putus,”katanya.

Liza berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, hari ini.

Selain itu, tambah pelakon drama 7 Hari Mencintaiku ini lagi, sebagai anak seni, dia juga menyifatkan arwah sebagai seorang permata seni yang sangat berharga dan pastinya sangat dirindui semua pihak.

Bahkan, Liza juga yakin, semua penyanyi atau anak seni yang pernah bekerjasama dengannya pasti sukar melupakan kebaikan dan sumbangan arwah dalam bidang seni selama ini.

“Di mata saya, dia sudah macam seorang abang, sudah macam keluarga. Saya ini pula dari dahulu memang suka mengusik dan bergurau dengan dia.

“Masa dia sakit sebelum ini pun saya sempat menziarahi dan mengusik dirinya demi menceriakan jiwanya. Tetapi, kalau dia sebagai seorang penerbit dan komposer, dia memang garang.

“Tetapi dia tetap seorang yang penyayang. Seluruh anak seni dalam dunia muzik yanh mengenali dan pernah bekerjasama pastk sangat merasai kehilangannya,”ujarnya.

Dalam pada itu, Liza juga menganggap Allahyarham S Atan sebagai seorang komposer tempatan yang sangat genius dalam melahirkan karya-karya lagu bermutu.

Terdahulu, Allahyarham S Atan disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang jam 3.35 petang, kelmarin.

Jenazah dikhafankan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang sekitar pukul 11 pagi.

Pada 16 September lalu, S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, di sini, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Sebelum ini, S Atan pernah dimasukkan ke hospital pada 2006 kerana menghidap angin ahmar.

Pada Februari 2019, komposer yang banyak menghasilkan lagu raya malar segar itu sekali lagi menerima rawatan di hospital akibat masalah buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dengan enam orang anak dan 10 cucu.

Allahyarham juga memiliki empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya