KUALA LUMPUR : Turut berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyandang gelaran Biduanita Negara, Dayang Nurfaizah menganggap penyanyi kesayangan ramai itu sememangnya layak berada di kedudukan sekarang.
Malah, menurut Dayang, Siti Nurhaliza sepatutnya sudah lama wajar diberikan gelaran itu atas pencapaian dan sumbangan besarnya dalam bidang seni.
“Saya ucapkan tahniah kepada Siti Nurhaliza dan dia sememangnya layak. Bagi saya, sepatutnya dia sudah lama dapat gelaran itu. Saya gembira sangat dan ketika mendapat perkhabaran itu, naik bulu roma saya sebagai seorang peminat.
“Sebenarnya, ramai lagi yang patut diberikan gelaran biduanita ini. Tetapi Siti Nurhaliza bagi saya memang layak. Saya sayang dia sangat!”katanya .
Dayang berkata demikian semasa ditemui pada sesi pra-dengar album terbaharunya berjudul Janji, di ibu negara, semalam.
Selain itu, kata Dayang, dia juga mengakui sempat melayangkan ucapan tahniah kepada Siti Nurhaliza di ruangan Instagram penyanyi tersebut.
Baru-baru ini, Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
Siti merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.