KUALA LUMPUR : Sedar bahawa banyak pihak menuntut kenyataan balas berhubung isu dengan pihak Kharisma Music, penyanyi, Aisha Retno, bagaimanapun memilih jalan untuk tidak memberikan sebarang maklum balas lanjut mengenai perkara tersebut.
Menurut Aisha, buat masa ini, dia mahu meletakkan fokus terhadap kerjaya seninya termasuk mempromosikan lagu terbaharunya menjelang Disember ini.
“Buat masa ini saya mahu fokus pada kerjaya seni.Namun lebih banyak bukti akan didedahkan nanti serta kebenaran akan terbongkar.
“Insya-Allah, saya doakan yang terbaik untuk dia (Yuka Kharisma) dan kejayaan konsert lainnya yang laku keras termasuk semua konsert lain yang juga bakal laku keras.
“Saya juga berharap dia mampu menjadi seorang penyanyi yang berjaya suatu hari nanti di mana dia tidak perlu ‘menunggang’ pada orang lain punya populariti dan bakat,”kata Aisha.
Selain itu, Aisha juga berkata, dia turut mendoakan Yuka berjaya untuk menjual tiket konsertnya sendiri suatu hari nanti termasuk mampu merangka strategi kewangan pemasaran dengan baik tanpa perlu menuding jari pada mana-mana pihak pada masa hadapan.
“Paling penting, saya harap dia tahu cara berkomunikasi dengan orang lain sebelum melulu membuat keputusan tanpa memberitahu produk. Semoga yang baik-baik untuk dia.
“Adakah saya akan memaafkan dia? Ya saya akan maafkan sebab saya tahu dia memiliki hati yang baik. Tetapi adakah ibu bapa saya, keluarga termasuk kawan-kawan yang pernah dianiaya oleh dirinya akan memaafkan dia?
“Hanya padang mahsyar yang boleh menjawab. Terima kasih Allah atas nikmat cabaran ini,”katanya.
Dalam pada itu, Aisha juga terharu kerana menerima banyak mesej daripada beberapa peguam yang menyatakan hasrat untuk membantunya dalam isu ini.
Semalam, penyanyi, Yuka Kharisma yang juga pemilik Kharisma Music akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Aisha Retno dan semua pihak yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan imej penyanyi itu dan syarikat tersebut.
Peguam Mewakili Yuka dan syarikat tersebut, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof berkata, tindakan itu berkemungkinan diambil selepas semua bukti berjaya dikumpul dan pihak-pihak terlibat dikenal pasti.
Sebelum ini, Aisha menerusi satu rakaman mengeluarkan kenyataan selepas pihak Kharisma Music mengumumkan pembatalan Aisha Retno Malam Sutera Live In Concert pada 9 November lepas atas dakwaan jualan tiket yang tidak memberangsangkan.
Aisha dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram itu mendakwa pihaknya tidak diberitahu berkenaan pembatalan konsert itu yang sepatutnya berlangsung pada 16 November lepas.
Pada masa yang sama, penyanyi lagu Sutera itu menyifatkan pembatalan tersebut sebagai penindasan dan tidak profesional sehingga mengakibatkan dia kehilangan beberapa tawaran persembahan.
Dakwa Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, dia dan pengurusannya sudah menghubungi penganjur, Kharisma Music International sejak beberapa bulan lepas untuk bertanya mengenai status konsert sulungnya itu namun mereka hanya mendiamkan diri.