Selepas Akon, Harris beri bayangan bawa ramai artis antarabangsa - Utusan Malaysia

Selepas Akon, Harris beri bayangan bawa ramai artis antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mencipta kejayaan menerusi penganjuran konsert konsert Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore, penyanyi dan pemilik Jeeharris Entertainment, Harris Baba, memberi bayangan bakal membawa lebih ramai artis antarabangsa untuk mengadakan persembahan dalam negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Harris berkata, pihaknya gembira dan berbangga dengan sambutan menggalakkan menerusi penganjuran konsert Akon yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur termasuk di Arena @ Expo Hall 7 Singapura baru-baru ini.

“Konsert Akon tempoh hari adalah permulaan yang bagus, satu profil yang baik untuk kami sebagai sebuah syarikat penganjur dari Sabah yang masih baharu. Saya sifatkan ia sebagai satu langkah besar untuk kami.

“Untuk itu, bagi tahun 2025, kami merancang mahu fokus membawakan lebih ramai lagi artis antarabangsa ke sini. Ada harapan lagi untuk kami anjurkan konsert di dua buah negara.

“Tak cuma penyanyi, kami juga merancang untuk membawa masuk artis komediri dan juga meneroka peluang untuk membawa masuk artis Kpop ke tanah air. Mengenai perkara itu, nantikan perkembangan menarik yang akan kami kongsikan di media sosial kelak,”katanya.

Selain itu, ditanya mengenai perasaan setelah selesai konsert Akon yang merupakan konsert besar pertamanya di ibu negara, kata Harris, dia kini boleh menarik nafas lega setelah berhempas pulas selama 11 bulan lalu.

“Rasa sangat gembira, berpuas hati dan lega. Akhirnya saya boleh berehat selepas 11 bulan merancang untuk konsert ini. Melihatkan kejayaan di dua buah negara ini juga membuatkan saya sangat berbesar hati.

“Ia bukan mudah untuk sebuah syarikat penganjur baharu seperti kami. Terima kasih buat pasukan saya dan semua pihak yang terlibat menjayakan konsert Akon tempoh hari,”ujarnya.


Dalam pada itu, Akon menerusi konsert yang diadakan pada Selasa lalu telah membuka tirai persembahan pada pukul 9 malam dan menghiburkan kira-kira 4,000 peminat yang komited hadir meskipun cuaca hujan lebat melanda ibu negara.

Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam itu, penyanyi, komposer dan penulis lirik terkemuka antarabangsa itu telah membawakan 26 buah lagu popularnya sekali gus menghangatkan seisi dewan sepanjang persembahan diadakan.

Antara lagu wajib yang dibawakan oleh penyanyi kelahiran Senegal-Amerika ini termasuk Lonely, Hypnotise, Sweet Escape, Smack That, Don’t Matter, Mama Africa, Right Now, Sexy Chick dan I Wanna Love You.

Akon, 51, telah banyak menghasilkan album dan bekerjasama dengan ramai artis antarabangsa popular lain seperti Wyclef Jean, Gwen Stefani, Lionel Richie, David Guetta, Pitbull, Madonna, Wonder Girls, Whitney Houston dan Snoop Dogg.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya