Biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, melancarkan single terbaharunya bertajuk Sejarah, ciptaan komposer terkenal Indonesia, Erwin Gutawa. Lagu ini membawa makna tersendiri sempena ulang tahun ke-30 penglibatan Siti dalam industri muzik.
Sejarah merupakan kolaborasi istimewa Erwin Gutawa bersama anaknya, Gita Gutawa, yang bertindak sebagai penulis lirik. Menurut Erwin, lagu ini dicipta khas untuk Siti dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti beliau. Liriknya menggambarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup serta menyampaikan rasa kesyukuran dalam setiap bait kata.
Lebih istimewa, muzik untuk Sejarah diiringi oleh Czech Symphony Orchestra, menjadikan susunan lagu ini lebih indah dan beremosi. Lagu ini juga merupakan hadiah istimewa buat peminat Siti sebelum menutup tirai tahun 2024, setelah beliau sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.
Siti menyifatkan lagu ini sangat menyentuh emosi kerana ia merangkumi perjalanan seni beliau. “Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa kerana menghasilkan lagu yang menggamit memori setiap fasa perjalanan seni saya,” ujar Siti, yang turut berterima kasih kepada Aubrey Suwito atas bantuan dalam proses rakaman vokal di Kuala Lumpur.
Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd ini kini boleh distrim di semua platform digital bermula 14 November 2024. Siti berharap Sejarah akan terus mendapat tempat di hati peminat setianya.