KUALA LUMPUR : Selepas mencipta nama sebagai seorang pempengaruh dan selebriti media sosial, Agy, kini mahu dikenali sebagai seorang penghibur setelah terhasilnya single sulung berjudul Uno Dos Stres.
Menurut Agy atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy, sebagai seorang yang mencintai dunia seni persembahan, dia sebolehnya mahu menjadikan impiannya itu sebagai satu kenyataan.
“Kalau tanya sama ada nak jadi penyanyi atau penghibur, saya pilih penghibur. Saya sangat suka berada di atas pentas, berada di khalayak ramai dan menghiburkan orang.
“Saya rasa gelaran penghibur itu lebih dekat dengan saya. Itu sasaran saya. Mungkin sekarang orang kata saya perasan tapi saya akan buktikan tidak lama lagi,” katanya.
Selain itu, Agy turut mendedahkan dia lebih gemar mencipta kelainan berbanding mengikut jejak langkah artis-artis sedia ada.
“Jawapan ini mungkin nampak berlagak tapi sejujurnya saya tidak pernah memandang kepada siapa. Mungkin saya melihat cara kerja mereka tapi saya cuba untuk bawa diri saya sendiri.
“Sebab itu bila saya muncul ketika ini, ramai yang hencap sebab saya berbeza. Saya tak sama dengan orang-orang yang sedia ada. Perkara itu yang buat orang rasa pelik.
“Saya lebih melihat kepada diri sendiri. Apa keistimewaan saya dan apa yang boleh dijual. Namun, kalau ada penyanyi yang menyanyi sedap atau persembahan pentasnya cantik, pasti saya juga nak jadi seperti mereka tapi dengan cara sendiri,” ujarnya.
Ditanya jumlah kos keseluruhan bagi singlenya, Agy memaklumkan ia bukan sedikit nilainya.
“Kita belum buat kira-kiranya yang spesifik tapi saya boleh cakap ia hampir RM100,000. Ia merangkumi segala hal termasuk fesyen.
“Namun, saya ada mendapat tajaan dan ada sebahagian menggunakan duit saya sendiri,” kongsinya.
Ditanya mengapa dia memilih ‘Uno Dos Tres’ sebagai tajuk lagu, dia sebenarnya berhasrat untuk membawa karya ini ke peringkat antarabangsa.
“Saya memang nak punyai lagu yang ada unsur-unsur Latin. Sebelum ini, ada yang kata saya ini tidak seperti orang tempatan tapi macam orang Mexico.
“Jadi, saya bawalah vibe itu kerana saya nak pergi ke peringkat antarabangsa. ‘Unos Dos Tres’ itu bermaksud ‘Satu Dua Tiga’. Di Malaysia pun tiada tajuk seperti ini lagi.
“Bila orang ingat saya, mereka akan ingat lagu Uno Dos Tres,” katanya.
Terdahulu, ‘Unos Dos Tres’ merupakan sebuah karya ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito.