KUALA LUMPUR: Pelakon, Ellie Suriaty Omar, 53, menasihatkan mana-mana pendatang baharu yang serius menjadikan bidang seni sebagai kerjaya supaya bersedia memasang kekuatan dari segi mentak dan fizikal sedari awal.
Perkara ini penting kerana kata Ellie, ia demi memastikan tidak wujud pandangan serong terhadap orang-orang seni yang kononnya dituduh melakukan aktiviti buli terhadap pelakon-pelakon baharu.
Malah, kekuatan mental dan fizikal penting demi memastikan seseorang pelakon itu mampu beradaptasi dengan proses pembelajaran yang juga satu ilmu dalam meniti perjalanaan sebagai anak seni.
“Ia suatu yang mengecewakan apabila artis baru mengatakan mereka dibuli oleh pelakon senior kerana saya adalah salah seorang pelakon yang masih ada yang melalui fasa dari seorang pelakon kepada pengarah, tiada peristiwa buli, yang berlaku hanyalah pembelajaran dan sikap saling menghormati.
“Jadi apabila ada tuduhan kepada pelakon senior, saya menyangkal pertuduhan ini. Kalau tak mahu jadi kental dan terbaik, jangan jadi orang filem atau pelakon. Jadilah pempengaruh saja. Kalau nak jadi yang terbaik, anda kena kental.
“Kalau kita bekerja seharian, ambil semua itu sebagai pembelajaran sebab kerjaya ini bukanlah suatu yang mudah. Tiada siapa nak manjakan anda.
“Perkara ini sangat menyedihkan sebenarnya, bagi saya, biadap siapa yang membuat pertuduhan sebegitu. Pelakon baru seharusnya menimba ilmu dengan pelakon senior,” katanya.
Ellie berkongsi perkara itu ketika menjadi moderator pada forum bertajuk Lihatlah Dunia: Trofi FFM Merubah Hidupku yang berlangsung di Datum Jelatek, di sini, petang tadi.
Selain itu, Ellie berkata, dia juga pernah bekerja dengan ramai pelakon hebat seperti Allahyarham Kuswadinata, Allahyarham Latiff Borgiba malah biduanita Allahyarham Datuk Sharifah Aini, dan tidak pernah rasa dibuli oleh mereka.
“Saya sempat bekerja dengan pelakon veteran Studio Jalan Ampas dan menerusi filem arahan pertama saya iaitu Penanggal saya mengarahkan Allahyarham Kuswadinata, Allahyarham Latiff Borgiba malah saya pernah bekerja dengan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, mereka semua ini sangat ‘sweet’, berdisiplin dan mendengar arahan saya sebagai pengarah.
“Saya pula yang segan nak mengarahkan mereka tapi mereka sangat profesional. Jadi bila ada kata pelakon senior buli, ia fitnah. Jangan busukkan tempat kita cari makan. Hormati industri kreatif, jangan biarkan orang cakap buruk pada industri kita.
“Saya sangat sayangkan industri kreatif, jadi perkara seperti ini menyedihkan kerana ini seolah virus. Saya kenal pasti mereka bercakap seperti ini dan saya tak mahu bekerjasama dengan mereka dan tak akan ambil mereka berlakon dalam filem arahan saya,” katanya.
Sempena menyemarakkan Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mempersembahkan Intuisi Evolusi Emas FFM33 iaitu program dua hari yang penuh inspirasi di pusat beli belah Datum Jelatek, di sini.
Acara ini bukan sahaja meraikan keunggulan seni perfileman tanah air, tetapi turut menjadi platform penting untuk mendekatkan generasi muda dengan industri filem tempatan serta memupuk rasa bangga terhadap filem nasional.
Susulan itu petang tadi berlangsungnya forum bertajuk Lihatlah Dunia: Trofi FFM Merubah Hidupku yang memperlihatkan bagaimana pencapaian dalam FFM mampu menjadi lonjakan besar bagi karyawan filem tempatan.
Panel yang terbabit adalah Datuk Rosyam Noor, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Maya Karin dan Erra Fazira manakala Ellie sebagai moderator.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Sharifuddin.