KUALA LUMPUR : Pelakon, Aishah Azman, 29, tidak menolak bahawa kemenangannya menerusi kategori Pelakon Komedi TV Terbaik sempena Malam Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) Ahad lalu tidak akan diraih tanpa kuat dan berkatnya doa seorang ibu.
Menurut Aishah, dia yakin, ibunya, Hasliza Mohd, sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anak-anaknya dalam apa jua bidang yang diceburi, sekali gus menjadi antara penyebab rezeki kemenangan di ASA2024 berpihak kepadanya.
Malah, Aishah yang kini sedang berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan umrah mengakui tidak pernah mendoakan kemenangan khusus untuk merangkul anugerah tersebut.
“Saya pergi menunaikan umrah ini pun, tiada satu doa khusus yang saya sebut untuk menang anugerah meskipun tahu diri tercalon untuk kategori itu.
“Memang hanya fokus umrah dan doa untuk benda lain. Tiba-tiba dapat panggilan daripada keluarga tempoh hari, ingatkan ada perkara kecemasan sebab dapat missed call banyak.
“Rupa-rupamya mereka nak beritahu saya menang anugerah. Tapi bagi saya, segala yang Allah bagi ini, semua berkat doa umie saya. Doa umie sahaja yang makbul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selain itu, Aishah berkata, di sebalik rasa kesyukuran diangkat sebagai Pelakon Komedi TV Terbaik, baginya, anugerah tersebut turut berat untuk dipikul terutama dari aspek jangkaan dan harapan orang ramai.
“Bagi saya, menerima anugerah sebagai pelakon komedi terbaik ni berat sebenarnya nak pikul. Semua tahu ASA ini bukan daripada undian peminat, ia memang sepenuhnya daripada juri yang arif tentang industri seni hiburan kita.
“Cuma saya percaya jika terpilih untuk menang itu adalah rezeki dan mereka menghargai setiap seni komedi yang saya kongsikan dalam drama Jodoh Ayahku,”katanya.
Dalam pada itu, Aishah juga tidak menolak bahawa sesiapa yang tidak mengenali mungkin beranggapan dia merupakan seorang wanita yang kelihatan serius.
Walhal, katanya, dia merupakan seorang yang peramah, periang dan suka berjenaka.
“Sebenarnya siapa yang mengenali dan yang rapat dengan saya pasti tahu bahawa saya ini bukanlah seorang yang serius.
“Sangat gila-gila dan suka bergurau. Malah dalam keluarga pun saya ini penghibur adik-beradik dan umi,”katanya.
Aishah menerusi kategori Pelakon Komedi TV Terbaik berjaya menewaskan artis lain yang tercalon dalam kategori sama iaitu Ropie, Ain Edruce, Joey Daud dan Fikry Ibrahim.
Bagi edisi tahun ini, ASA2024 memberi pengiktirafan menerusi 60 kategori yang dipertandingkan iaitu 40 kategori televisyen, 16 kategori radio dan empat menerusi media baharu.
Malam ASA2024 turut diserikan dengan persembahan Ziana Zain, Liza Aziz, Zamani, Aina Abdul, Ernie Zakri, Aisha Retno dan dihoskan oleh Shahrizan Borhan dan Nana Mahazan.