PETALING JAYA: Penyanyi, Misha Omar, menafikan dakwaan kononnya dia ialah penyanyi yang ditahan polis bersama pil kuda.
Misha atau Samihah @ Aisah Omar yang merupakan penyanyi asal Kelantan terpanggil untuk memberi penjelasan setelah ditanya oleh beberapa pihak.
“Terima kasih kepada yang mengirim saya mengenai artikel ini dan bertanya adakah saya okay atau tidak.
“Ini bukan saya, jangan risau okay,” tulisnya di Instagram pada Sabtu.
Terdahulu media melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis asal Kelantan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis pil kuda.
Penahanan tersebut dilakukan sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, pada Jumaat.
Dua daripada mereka difahamkan masuk ke Thailand menggunakan pengkalan haram manakala bakinya menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. -UTUSAN