KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Aishah Ariffin, 60, menegur segelintir warganet supaya tidak mudah bersikap menghukum apabila melihat seseorang artis atau selebriti itu melakukan kebaikan dan berkongsi di media sosial.
Sebagai contoh, menurut Aishah, dirinya yang membuat perkongsian mengaji dan membaca Al-Quran yang kemudiannya dikatakan sengaja mahu menunjuk baik di media sosial.
“Bila tiada urusan lain, kita mengajilah. Saya ini buat perkongsian video bukanlah nak tunjuk baik. Ada juga yang komen saya nak tunjuk baik. Awak semua ini, saya menyanyi salah, mengaji salah, asyik nak cari pasal sahaja.
“Apa masalahnya bila seorang artis buat video dia mengaji? Kalau ada orang tegur bacaan kita salah, kita boleh betulkan. Tiada masalah, artis juga manusia . Saya buat video dan kongsikan di media sosial sebab ada orang ingat artis ini kerjanya menyanyi sahaja 24 jam.
“Tak adanya macam itu, terutama kami ini yang sudah masuk fasa senior. Tak semua sejahil yang anda fikirkan,”katanya.
Aishah berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di Instagram.
Selain itu, penyanyi lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang ini berpendapat, setiap manusia tidak wajar sentiasa menyangkakan diri masing-masing sudah terlalu bagus hanya kerana amalannya kebaikannya melebihi orang lain.
“Syaitan ini licik. Jangan berasa diri kita cukup hebat dengan amalan kita. Masuknya kita ke dalam syurga, atas ihsan Allah.
“Jadi, jangan perasan yang kita dah hebat dalam amalan maka kita tengok semua orang lain tak betul. Peninglah kepala saya.
“Tak apalah, bersangka baik. Kalau tak betul bacaan saya, betulkan. Tak ada masalah. Cuma hentikan benda-benda begini (komen negatif).
“Nanti di padang mahsyar susah nak cari saya minta maaf,”ujarnya.