KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Norreen Iman, 30, mendedahkan, dia dan suami, Razzi Razak, pernah membuat permohonan zakat di Baitulmal sebagai usaha untuk mencukupkan wang yang telah dikumpul bagi mendirikan rumah tangga, sepuluh tahun lalu.
Menurut Norreen, dia dan Razzi pada waktu itu terpaksa berbuat demikian memandangkan kedua-duanya masih belum mempunyai kewangan yang kukuh namun hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetap diteruskan.
Perkara itu telah diluahkan oleh Norreen dalam satu hantaran di Facebook ketika mengenang jerih perihnya bersama suami membina hidup sebagai sebuah keluarga.
“Sepuluh tahun lalu, saya bertemu awak (Razzi) di Twitter. Kita dua-dua budak flat. Awak flat Rampai, saya di Melati. Pertama kali jumpa adalah di kedai mamak. Nak kahwin, duit tak banyak. Muda sangat tetapi atas restu kedua-dua ibu, kita pun usaha.
“Dulu kita layak sama-sama mohon Baitumal sebab nak tambah duit kahwin. Dapatlah seorang RM1,500 dan ia membuatkan saya rasa sangat bersyukur. Keluarga pun ada tolong, ada yang menaja khemah, siap tema warna JDT lagi,”katanya menerusi hantaran tersebut.
Selain itu,kongsi Norreen lagi, kehidupannya selepas berumah tangga dengan Razzi juga mempunyai cabaran tersendiri.
“Kita pindah daripada menetap di pangsapuri, kita tinggal di kondominium sebab nak keluar daripada zon selesa kita.Masuk rumah baharu, hanya beralaskan karpet, tiada sofa, tiada meja.
“TV pun beli secara hutang dengan abang pakistan, ingat lagi. Satu rumahlah barang yang dibayar ansuran dengan sebulan RM50 ke RM100. Bolehlah, asal bayar sampai habis.
“Tapi dalam masa fasa ini lah saya mula hasilkan bahan kandungan di media sosial.Gelak-gelak. Ada orang suka, ada yang tak. Ingat dulu semua layan video saya, macam-macam ragam warganet terima cara saya hasilkan bahan hiburan,”katanya.
Tambah Norreen lagi, ketika itu, meskipun berusaha membuat orang lain ketawa dengan jenaka-jenaka bersahajanya di media sosial, namun, dakwanya, tiada siapa tahu bahawa dia dan suami sedang bergelut untuk kelangsungan hidup.
“Saya terus buat video dan buat orang ketawa walaupun saya dan Razzi pernah berada dalam fasa sedang bergelut nak beli lampin pakai buang anak pun tak mampu.
“Kemudian, enam tahun berkahwin, baru dapat beli kereta pertama. Tapi sumpah, tak rasa hidup itu susah. Semuanya satu fasa dalam hidup. Tetapi saya gembira dapat mengatakan yang diri ini sangat bersyukur mempunyai suami macam Razzi.
“Saya tak dapat buat apa yang dia mampu buat. Apa yang boleh saya katakan, hidup ini macam buat jualan. Lebih banyak kita buat, lebih banyak kita dapat hasilnya.Sama macam saya buat bahan kandungan dulu, lagi banyak buat video, banyak pendedahan, lebih banyak ganjaran mendatang.
“Tetapi usaha tetap kena nombor satu. Hasil kita tawakal. Jadi, terima kasih kepada semua yang berada bersama saya sejak hari pertama lagi,”katanya.