Kita kehilangan permata seni yang amat berharga dalam industri muzik - DJ Dave - Utusan Malaysia

Kita kehilangan permata seni yang amat berharga dalam industri muzik – DJ Dave

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Turut berduka dengan pemergian Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave, menyifatkan maestro terkemuka tanah air itu umpama satu dalam sejuta.

Mengenang kembali memori bersama Allahyarham, menurut DJ Dave, komposer dan penulis lirik hebat itu merupakan seorang yang tegas dalam profesionnya.

Bagaimanapun, dia percaya, mana-mana artis yang pernah bekerjasama dengan arwah pasti bersetuju bahawa ketegasan arwah adalah satu daripada caranya mendidik dan berkongsi ilmu dalam bidang muzik.

“Arwah adalah salah seorang tokoh pencipta lagu yang hebat dan tak dapat ditandingi dalam negara. Saya termasuk semua artis yang pernah bekerjasama dengannya tahu dia seorang yang banyak mengajar tentang ilmu muzik.

“Saya juga bersedih kerana dalam minggu ini kita kehilangan dua tokoh penting dalan industri muzik tempatan. Tak dinafikan ketika menerima perkhabaran ini saya juga terkejut.

“Ia memandangkan baharu sahaja tahun lepas kami berdua menerima penganugerahan daripada Yang Dipertuan Agong. Allahyarham menerima gelaran Tan Sri manakala saya untuk gelaran Datuk,”katanya.

DJ Dave berkata demikian semasa ditemui di kediaman Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab di Gombak, di sini, malam tadi.

Selain itu, DJ Dave juga berasa ralat kerana tidak dapat melunaskan hasrat Allahyarham yang mahu berkunjung ke kediamannya baru-baru ini.

“Saya ada jemput dan dia benar-benar mahu datang ke rumah saya. Tetapi minggu yang dijanjikan, dia hubungi dan katakan tak dapat datang kerana tak sihat. Jadi dia tunda kepada minggu seterusnya.

“Minggu kemudian, dia juga hubungi saya dan katakan tak dapat hadir kerana kesihatan tidak begitu baik, “katanya.

Kongsi DJ Dave lagi, personaliti dan figura Ahmad Nawab akan sentiasa tersemat di hatinya kerana maestro terkemuka itu banyak memberi nasihat terutama ketika di awal pembabitannya dalam dunia seni.

“Dia seorang yang tegas dalam kerjayanya. Dia nak juga kita ikut rentak dia dan kami rakan-rakan artis ini banyak belajar daripadanya.

“Bila masuk studio, kebanyakan rakaman lagu dibuat di Singapura. Saya masih ingat Allahyarham banyak kali tegur saya bila ada seni kata yang tak dapat saya bawakan dengan baik atau tak berapa sesuai dengan ciptaannya.

“Dia akan marah. Teguran sedemikian telah beri satu semangat untuk kami bekerja kuat dan naikkan mutu nyanyian kami. Kita sememangnya telah kehilangan satu permata yang amat berharga dalam bidang seni,”katanya.

Allahyarham Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, di sini, pada kira-kira kam 3.15 petang tadi.

Lebih 70 tahun bergelar anak seni dan telah menghasilkan lebih 2,000 karya malar segar dengan kira-kira 200 buah album, Ahmad Nawab merupakan seorang seniman yang banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan industri muzik di Malaysia.

Meskipun usia sudah menjangkau 92 tahun, namun minatnya dalam bidang muzik tidak pernah padam malah beliau masih lagi aktif untuk terus menghasilkan lagu-lagu baharu.

Antara artis-artis tempatan dan luar negara yang popular dan berbakat besar yang pernah mendendangkan lagu dan karya Allahyarham seperti Uji Rashid, Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram, Broery Marantika dan ramai lagi.

Ketika hayat, Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun.

Ahmad Nawab juga telah memenangi banyak anugerah dan antaranya Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Anugerah tertinggi yang pernah diraih oleh Allahyarham ialah menerusi Anugerah Seniman Negara pada tahun 2006.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya