KUALA LUMPUR : Topik perbualan mengenai cara nyanyiannya yang sumbang di sebuah program temu bual di Indonesia baru-baru ini masih belum tamat diperdebatkan warganet dan kini Nur Fazura muncul pula dengan ‘gelagat’ baharu.
Menerusi satu perkongsian video di Tik Tok, Fazura dilihat sengaja menyanyikan sebuah lagu secara rambang sambil menari dipercayai ketika sedang mempromosikan tudung jenamanya.
Menerusi video tersebut, Fazura menyanyikan bait-bait lirik rambang dengan menyebut ‘marilah istiqamah, hidup ini sementara’.
Bagaimanapun, warganet menyifatkan gelagat pelakon filem Gol dan Gincu itu seakan pelik kerana ia di luar kebiasaan dirinya.
“Dah kenapa fazura jadi macam ini?”tulis seorang pengguna.
“Aku ini sudahlah sakit jantung. Tolonglah jangan tambah sakit aku Fazura,” tulis pengguna lain.
“Aku ini sebenarnya sudah cuba husnuzon, tetapi dah kenapalah si Fazura jadi macam ini? Kasihan pula aku tengoknya,” tulis seorang pengguna lain.
Bagaimanapun, menerusi platform Fazura.Storewide itu, pengendali akaun berkenaan menyebut bahawa gelagat pelik Fazura itu adalah sebahagian daripada caranya untuk menggembirakan hati.
“Saja happy-happykan diri darling,” tulis pengendali akaun tersebut.
Minggu lepas, nyanyian Fazura ketika mempromosikan single Bertahan Demi Cinta hasil paduan suara bersama bekas suaminya, Fattah Amin itu menerima pelbagai reaksi dan kecaman sejak video itu tular di media sosial.
Malah, topik itu juga menjadi bualan ramai sehingga menjadi salah satu topik ‘Trending di Malaysia’ menurut laman sosial, X.