KUALA LUMPUR: Turut berduka dengan pemergian Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah mengakui berasa ralat kerana tidak sempat menziarahi maestro terkemuka tanah air tersebut di kediamannya semalam.
Menurut Jamal, dia berhasrat mahu menziarahi komposer dan penulis lirik terkenal itu di kediamannya di Gombak namun diminta oleh ahli keluarga arwah supaya tidak berbuat demikian lantaran faktor kesihatan arwah yang sangat lemah.
“Sebenarnya dua hari lepas saya menghubungi anaknya, Ismail, di mana saya katakan saya mahu menziarah arwah semalam tapi Ismail nasihatkan biar dahulu kerana Tan Sri Ahmad Nawab baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).
“Kalau tidak dapatlah jumpa dia semalam, hari ini saya di Johor, tapi saya cuba pergi ke pengebumiannya esok.
“Rasa ralat jugalah tak dapat jumpa dia semalam, sebab saya memang sudah rasa nak jumpa dia tiba-tiba dimaklumkan khabar sedih ini hari ini memang sedih,” katanya ketika dihubungi, di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, mengenali arwah, kata Jamal, komposer terbabit dianggap sudah seperti abang dan keluarganya sendiri.
“Tan Sri Ahmad Nawab seorang yang lemah lembut, kurang bercakap tapi lagu-lagunya mekar sehingga hari ini. Kebanyakan peminat mahukan saya nyanyikan lagu-lagu dia juga.
“Dia seperti abang pada saya, dia dekat dengan saya. Kalau pergi rakaman pun, memang rasa selesa dan akrab dengan dia.
“Dia banyak mengajar dari segi penyampaian sebab dia seorang yang mahukan kesempurnaan. Dia jaga semuanya dan saya banyak belajar dengan dia,” katanya.
Jamal memberitahu, kali terakhir dia bekerjasama dengan Allahyarham adalah menerusi konsert penghargaan anjuran syarikatnya Binjamal Event dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Istana Budaya, tahun lalu.
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah mengakui ralat apabila tidak berpeluang menziarahi maestro muzik iaitu Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, di sini, pada kira-kira kam 3.15 petang tadi.