Industri seni kehilangan seorang komposer berprolifik - M Nasir - Utusan Malaysia

Industri seni kehilangan seorang komposer berprolifik – M Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Penyanyi dan pencipta lagu tersohor negara, Datuk M Nasir, 67, menyifatkan industri seni tanah air telah kehilangan seorang komposer berprolifik yang tiada galang gantinya seperti Allahyarham Datuk S Atan.

Turut meluahkan rasa sedih, M Nasir berkata, S Atan umpama permata seni negara dan gelaran Raja Lagu-Lagu Pop sememangnya layak buat dirinya.

“Dalam perjalanan dunia seni muzik ini, kita akan dapat jumpa komposer macam Allahyarham, 10 tahun sekali. Orang macam arwah, karyanya bagus dan besar.

“Saya masih ingat, tahun 70-n dan 80-an, itu adalah kemuncak kerjaya dan karyanya. Kemudian, tahun 80-an muncul pula orang lain.

“Tetapi dalam 10 tahun tempoh itu, dia memang boleh kita anggap sebagai Raja Pop khususnya penciptaan lagu-lagu Pop,”katanya.

M Nasir berkata demikian semasa di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, hari ini.

Selain itu, ditanya bila kali terakhir pertemuannya dengan Allahyarham, M Nasir berkata, dia sempat berjumpa dengan arwah beberapa bulan lalu.

“Saya bukan selalu dengan dia, kami jumpa pun dah sangat lama. Tetapi antara kenangan yang saya ingat bersama arwah ialah semasa dia pernah menjadi pemuzik semasa saya mengadakan persembahan di Manchester, England pada tahun 1997.

“Ketika itu adalah satu-satunya tempoh yang lama saya dapat bersama dengan S Atan untuk menjayakan sebuah persembahan.

“Lagi satu, semasa saya buat sebuah dokumentari tentang muzik sebelum ini. Saya pernah temu bual dia dan kami berbincang mengenai perkembangan industri seni. Ada juga dia meluahkan tentang kekecewaan berkenaan industri ketika itu namun bagi saya dia tetap seorang komposer yang prolifik dan pengaruhnya dalam dunia muzik pop Melayu ini sangat besar,”ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham S Atan disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang jam 3.35 petang, kelmarin.

Jenazah dikhafankan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang sekitar pukul 11 pagi.

Pada 16 September lalu, S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, di sini, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Sebelum ini, S Atan pernah dimasukkan ke hospital pada 2006 kerana menghidap angin ahmar.

Pada Februari 2019, komposer yang banyak menghasilkan lagu raya malar segar itu sekali lagi menerima rawatan di hospital akibat masalah buah pinggang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya