KUALA LUMPUR : Setelah agak lama tidak muncul dengan karya lagu, penyanyi, Elyana, 37, mengakui, single berjudul Bungkam yang baharu dilancarkan semalam mempunyai makna tersendiri buat dirinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Elyana berkata, single tersebut merupakan hasil nukilannya sendiri dan telah dihasilkan sewaktu dia melalui fasa pahit, bergelut dengan penyakit kanser yang dideritainya sekitar empat tahun lalu.
“Lagu ini bukan sekadar karya, tetapi simbol perjalanan seorang wanita yang terus melangkah dengan penuh keikhlasan dengan kehidupannya. Terus-terang, lagu ini sangat peribadi buat saya, dan tarikh pelancarannya juga sangat bermakna iaitu sempena sambutan ulang tahun kelahiran suami saya, Khairul Hussin.
“Boleh dikatakan, ia mungkin hadiah kecil untuk suami saya yang tidak pernah berputus asa dan juga sumber kekuatan saya selama ini.
“Dialah pendorong terbesar saya, melalui setiap kesusahan dan fasa hidup saya sebagai seorang penghidap kanser. Saya bersyukur memiliki suami terbaik di dunia dan saya berdoa semoga ada rezeki yang lebih baik buat dia di masa depan,” luahnya.
Selain itu, luah penyanyi ini lagi, dia juga sentiasa merindukan dunia seni nyanyian dan lakonan namun akur dengan keadaan kesihatannya selama ini.
“Saya masih rindukan kerjaya nyanyian dan lakonan, cuma ada masa, keadaan tidak mengizinkan.Insya-Allah jika tenaga kesihatan yang baik akan cuba saya usahakan,”katanya.
Dalam pada itu, Elyana turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan media dan semua yang telah memberi sokongan sejak awal kerjayanya hingga kini.
“Saya amat bersyukur kepada semua yang masih menerima keadaan saya seadanya. Mereka adalah kekuatan yang mendorong saya terus melangkah.
“Bungkam adalah hadiah ikhlas daripada saya untuk anda semua. Tanpa anda, siapalah saya. Terima kasih kerana masih bersama saya dalam perjalanan ini,”katanya.
Sementara itu, Ketua Perniagaan Domestik WebTVAsia, Suzana Sukaimi berkata, pihak pengurusan bersama Warner Music Malaysia sebagai pengedar sangat berbesar hati membawa karya istimewa ini kepada khalayak.
“Kami di WebTVAsia sangat bangga menjadi sebahagian daripada kebangkitan semula Elyana. Bungkam adalah bukti bahawa seni mampu menjadi terapi dan inspirasi, bukan sahaja kepada penciptanya tetapi kepada semua yang mendengarnya.
“Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar jika kesihatan Elyana terus mengizinkan,”katanya.
Bungkam kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.