GOMBAK: Seniwati, Datuk Rosnani Jamil, 88, tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai sahabatnya, maestro muzik iaitu Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, yang meninggal dunia di kediamannya di sini, petang tadi.
Rosnani atau mesra disapa Mak Nani meluahkan, dia baharu saja berbicara mahu menjayakan galeri buat sahabatnya itu namun perkara tersebut tidak sempat direalisasikan .
“Mak dengan dia terlalu rapat. Kebetulan Mak baru balik dari Penang, merasmikan galeri untuk Allahyarham Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang. Saya sudah rasmikan semalam.
“Orang ingatkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sahaja, jadi dalam pada itu kita berbicara memikirkan mengenai arwah sebab dia pun orang Penang, disebabkan itu persatuan mengatakan insya-Allah, sekarang kita sudah selesai buat untyk Nordin dan kita akan buat untuk Ahmad Nawab pula.
“Kami sangat gembira bercakap mengenai dia, kemudian tadi anak telefon katakan Ahmad Nawab sudah tiada. Jadi saya tak tahu nak cakap apa, saya sedih tidak dapat berjumpa pun,” katanya yang ditemui ketika menziarahi arwah di kediamannya malam tadi.
Selain itu, Rosnani berkata dia sering berkunjung ke rumah Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab sebelum isteri arwah meninggal dunia.
“Dulu, ketika Mak pandai bawa kereta, ketika arwah isterinya masih ada, kami sangat rapat, selalu bawakan lauk makan di rumah anak. Sekarang isteri dia sudah tiada, Mak tidak datang sehingga hari ini.
“Anak saya selalu marah, iyalah kalau nak datang kena masak untuk dia, dia sukakan rendang ayam Mak.
“Doalah semoga Allah meletakkan dia bersama hambaNya yang beriman, ampunkan segala dosanya. Tak lagi Mak pun akan menyusul agaknya,” katanya.