Festival Asia 2024 pamer kepelbagaian seni budaya di Asia - Utusan Malaysia

Festival Asia 2024 pamer kepelbagaian seni budaya di Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Yayasan Gemilang menyasarkan sekurang-kurangnya 8,000 pengunjung bakal membanjiri Lanai MaTIC Jalan Ampang bagi memeriahkan Festival Asia 2024 yang julung kali diadakan.

Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan serta kerjasama badan-badan kebudayaan dan kedutaan-kedutaan asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gemilang, Safia Jamil berkata, prorgam ini adalah peluang untuk pengunjung menyelami keunikan dan kekayaan budaya Asia yang pelbagai.

Menurut Safia, acara yang bertemakan Warna Warni Asia (Colors of Asia) ini sebagai penghormatan kepada warisan budaya pelbagai negara di benua Asia, dengan penyertaan daripada Malaysia sebagai tuan rumah selain Palestin, Pakistan, China, dan Indonesia.

“Penganjuran Festival Asia 2024 bukan sahaja bertujuan memperkenalkan budaya Asia kepada rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa tetapi juga menjadi medium penting untuk membina jambatan kefahaman antara pelbagai masyarakat di rantau ini.

“Festival ini diharapkan dapat memupuk semangat perpaduan, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian, dan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asia dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya bersama.

“Saya juga berharap program ini bakal menjadi acara tahunan dalam usaha menjadikan ia medium bertukar idea, pengalaman, dan kerjasama budaya yang positif antara negara-negara Asia,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara disamping berinteraksi dengan wakil-wakil budaya dari pelbagai negara, sekaligus mencipta peluang untuk memahami budaya Asia yang pelbagai, hasil pengaruh sejarah dan geografi yang panjang dan kompleks.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Wilayah Tengah Tourism Malaysia, Sufian Zainuddin berkata, festival ini bukan sekadar pameran seni dan budaya tetapi adalah sebuah platform yang unik di mana pengunjung dapat merasai, menikmati, dan menghayati pelbagai warisan budaya dalam suasana yang menyeluruh.

“Setiap negara yang terbabit akan mempamerkan identiti unik mereka melalui persembahan tarian, muzik tradisional, demonstrasi seni, serta hidangan autentik.

“Ini menjadikan festival berkenaan satu pengalaman lengkap dan bermakna buat semua.

“Saya juga berharap festival ini dapat menarik lebih ramai pelancong luar negara yang berada di negara ini untuk hadir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya