KUALA LUMPUR : Pelakon, Diana Danielle, 32, menasihatkan semua pihak supaya tidak mudah menghakimi mana-mana individu yang mahu mencuba melakukan perubahan menjadi insan lebih baik.
Menurut Diana, perkara itu turut terjadi kepadanya terutama apabila dia pernah berkongsi mengenai solat yang menjadi sumber kekuatannya.
“Sejak saya berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama sering kali, ‘Tutup aurat dulu’.
“Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat? Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri sendiri dan berjuang melawan ‘nafsu’ masing-masing.
“Yang penting, kita semua sedang berusaha ke arah kebaikan. Elak rendahkan sesiapa yang sedang cuba berubah,”katanya.
Dian berkata demikian dalam saty hantaran yang dimuat naik di Threads, hari ini.
Selain itu, pelakon filem Imaginur ini juga meluahkan rasa hairan mengapa ada pihak mahu mempersoalkan penampilan luaran seorang wanita.
“Kenapa perlu pelik bila orang tak bertudung beritahu mereka solat? Bukankah setiap orang ada ujian berbeza? Solat tanda kesedaran untuk berubah dan menjadi lebih baik.
“Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia,”katanya.
Sebelum ini, Diana pernah berkongsi kepada umum bahawa dalam ujian yang sedang dihadapinya sekarang terutama berhubung isu rumah tangga, solat menjadi sumber ketenangannya.
Terdahulu, Diana mengejutkan banyak pihak apabila memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk bersama suaminya, aktor Farid Kamil. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.