Buli : Mungkin wujud salah faham - Finas - Utusan Malaysia

Buli : Mungkin wujud salah faham – Finas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmor Saifuddin Mutalib memaklumkan pihaknya setakat ini masih belum mendapat sebarang aduan rasmi berhubung isu buli yang kononnya berlaku terhadap pelakon junior.

Berikutan itu, kata Azmir, dia berpendapat perkara tersebut mungkin berlaku akibat salah faham semata-mata.

“Saya ada mendengar cerita dari pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Maya Karin, Erra Fazira. Tapi saya tak tahu lagi apakah aduan yang sebenar. Namun saya fikir, mungkin satunya adalah kerana salah faham.

“Keduanya, selalu yang lebih senior dan berpengalaman mahu pastikan bila kita bekerja semuanya teratur dan mengikut kebiasaan di set. Mungkin itu yang mereka mahu ketengahkan dan mungkin dalam sesebuah perbincangan atau luahan, yang muda dan kurang pengalaman ini, terasa hati,” katanya.

Azmir berkongsi perkara itu ketika ditemui media pada forum bertajuk Lihatlah Dunia: Trofi FFM Merubah Hidupku yang berlangsung di Datum Jelatek, di sini, kelmarin.

Selain itu, Azmir berkata, kemungkinan besar pelakon yang lebih berpengalaman terbabit hanya mahu mengajar dan berkongsi ilmu tetapi telah disalah tafsir.

“Bagi saya, dalam kehidupan ini kita ada hubungan seperti seorang guru dan anak murid, kita tak lari dari perkara itu, jadi kemungkinan besar yang senior mahu mengajar dan cuma dalam keadaan tertentu atau tertekan, yang lebih muda ini terasa.

“Satunya kita kena faham budaya kita memang begitu dan kemudian kita kena terbuka sebab saya pasti dalam sesebuah projek, semuanya mahu berjaya. Tiada siapa mahu gagal jadi yang senior mahu pastikan projek itu benar-benar berjaya.

“Rosyam dan Ellie juga ada bercerita mengenai pengalaman mereka menjayakan filem Memoir Seorang Guru, mereka lihat naskhah itu bagus tapi mungkin penerbit dan pengarah agak kurang pengalaman dalam penghasilan filem. Jadi mereka sendiri setuju membantu,” katanya.

Azmir berkata, pembikinan filem bukanlah suatu yang mudah justeru semua yang terbabit perlu profesional dan saling bertolak ansur.

“Buat filem ini bukan mudah, tak boleh fikir diri kita sahaja. Jadi saya rasa dalam pembikinan tak kira drama atau filem, semuanya kena profesional. Misalnya dalam satu produksi filem ada lebih 100 kru jadi tak mudah mahu mengawal semua.

“Kemudian kita pula ada tempoh masa misalnya 30 sehingga 40 hari nak pastikan semuanya selesai. Jadi pada pandangan saya yang muda itu dengarlah nasihat dari yang lebih tua, ada hikmahnya dan kalau boleh berbincang. Ini bukanlah masalah besar sangat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya