Arwah S Atan garang, tetapi pemurah dan baik hati - Jatt - Utusan Malaysia

Arwah S Atan garang, tetapi pemurah dan baik hati – Jatt

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG : Vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt Ali tidak menolak bahawa sepanjang mengenali Allahyarham S Atan semasa hayatnya merupakan seorang penerbit album, komposer dan sahabat yang banyak mengajar dirinya.

Menurut Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, 68, dia masih ingat bagaimana cara kerja Allahyarham ketika bekerja di studio rakaman dengan menyifatkan arwah adalah guru yang banyak mengajarnya.

“Saya mengenali arwah sejak tahun 1977 lagi, yang mana dia bertindak sebagai penerbit album Black Dog Bone. Allahyarham juga sahabat dan individu yang banyak mengajar saya membaca nota muzik serta memahami lirik lagu.

“Arwah juga seorang yang garang ketika di studio rakaman dan dia akan marah apabila nyanyian tidak betul dan kena rakam berulang-ulang sampailah dia rasa puas hati.

“Apapun, segala teguran itu saya terima dengan ikhlas dan anggap satu kebaikan. Arwah juga seorang yang pemurah dan sangat menghormati orang, selain tidak membangga diri dengan kelebihan bakat dirinya,” katanya.

Jatt berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, hari ini.

Selain itu, ditanya mengenai lagu hari raya popularnya yang berjudul Cahaya Aidilfitri, Jatt berkata, lagu itu sangat bermakna kerana melodinya dirakamkan dahulu dan kemudian baru masuk lirik.

“Pada mulanya, kami tak tahu pun itu lagu hari raya sebab rakam melodi dulu dan bila masuk lirik lagu baru tahu ia lagu raya. Banyak kali jugalah saya rakam sampai arwah puas hati.

‘Dulu, masa buat rakaman lagu mana ada ‘cut’ dan ‘paste’. Jadi, bila arwah tak puas hati, memang kena rakam dan rakamlah. Tapi, hasilnya memang terbaik.

“Menerusi lagu Cahaya Aidilfitri juga, Black Dog Bone dapat kontrak menyanyi di Amsterdam, Belanda selama enam bulan dan apabila dimaklumkan popular memang tak sangka.

“Demi Allah, saya menangis bila dengar lagu itu di Amsterdam sebab baru faham liriknya yang mengisahkan berjauhan daripada keluarga,” katanya.

Kongsi Jatt lagi, dia dan anggota
Black Dog Bone yang lain ada merancang untuk menziarah Allahyarham pada 1 Disember depan tetapi hasrat itu nampaknya tidak kesampaian.

Semalam, arwah disahkan meninggal dunia di kediamannya di Kajang pada jam 3.53 petang akibat komplikasi jantung.

Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11.07 pagi ini dengan meninggalkan seorang balu, Datin Norizan Yeob, enam orang anak dan 10 cucu, termasuk empat anak hasil perkahwinan terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya