AC Mizal anggap isu kegagalan bayar gaji bekas pekerja satu fitnah - Utusan Malaysia

AC Mizal anggap isu kegagalan bayar gaji bekas pekerja satu fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengasas dan pengerusi saluran televisyen terestrial digital swasta percuma, Suke TV, Datuk AC Mizal, menyifatkan dakwaan-dakwaan yang bertebaran di media sosial berhubung kegagalan syarikat membayar tiga bulan gaji kepada bekas pekerja adalah fitnah semata-mata.

Berikutan itu, menurut AC atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 53, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu terbabit demi membersihkan nama syarikat.

“Kenyataan dan cerita yang tular tentang kegagalan Suke TV membayar gaji tiga bulan kepada individu-individu tersebut di media sosial adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

“Saya telah mengarahkan peguam saya dan syarikat Suke TV untuk mengambil tindakan undang-undang serta merta terhadap individu terbabit berkenaan penularan fitnah ini.

“Oleh itu biarlah mahkamah yang menentukan sama ada betul atau salah,” katanya menerusi satu kenyataan video yang dihantar kepada media.

Menjawab mengenai dakwaan dibuat oleh seorang bekas pekerja, AC memberitahu individu berkenaan telah ditamatkan kontrak kerana gagal mengikuti syarat perkhidmatan ditetapkan.

Malah, AC berkata pihaknya mempunyai segala bukti namun enggan mendedahkannya kepada umum.

“Cuma saya mahu nyatakan kenyataan fitnah tersebut disebarkan oleh beberapa bekas pekerja yang antaranya telah ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat kerana didapati melanggar syarat-syarat perkhidmatan.

“Kami mempunyai semua bukti, tetapi kami tidak akan mencanangkan butiran ini kepada umum. Saya serahkan semuanya kepada undang-undang mahkamah dan keadilan negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, AC berkata dia sepatutnya tidak memberikan respons terhadap fitnah dilemparkan namun dia perlu menceritakan hal sebenar bagi mengelakkan salah faham.

Dia juga memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan berhenti menyebarkan fitnah berhubung isu berkenaan.

“Sepatutnya saya tidak perlu balas dan jawab kenyataan tular yang begitu tidak bertanggungjawab. Tetapi memandangkan sudah ramai yang tahu dan bertanyakan isu ini, untuk mengelakkan salah faham dan fitnah saya perlu jelaskan di sini.

“Saya memohon semua untuk berfikir secara tenang. Hentikan sebaran fitnah dan cerita yang tidak berasaskan fakta sebenar.

“Pihak saya dan Suke TV sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak asalkan kita menggunakan saluran yang betul. Jangan menggunakan media sosial untuk kepentingan-kepentingan yang tertentu. Terima kasih,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang personaliti TV iaitu Meyra Khan mendedahkan gajinya ketika berkhidmat di sebuah stesen televisyen masih lagi tidak dilunaskan.

Meyra mendakwa bukan hanya berdepan isu pembayaran gaji malah caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut tertunggak.

Lebih malang, Meyra yang bekerja dengan stesen tersebut sejak 2022 memaklumkan kontraknya ditamatkan lebih awal iaitu pada Ogos lalu dan masih belum menerima gaji terakhirnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN