Zee Avi mahu bergerak aktif bersama band - Utusan Malaysia

Zee Avi mahu bergerak aktif bersama band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Cukup terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Kantoi, Bitter Heart dan Concrete Wall, penyanyi, Zee Avi kini kembali tampil aktif mewarnai industri hiburan setelah 13 tahun tidak menghasilkan album.

Bagaimanapun, berbanding solo, penyanyi ini nekad mahu tampil bersama band sendiri yang diberi nama
Zee Avi And The Good Things.

“Hampir 13 tahun sejak album terakhir saya, Ghostbird dipasarkan, saya kini mempersiapkan album ketiga.
Ya, album penuh dengan sekitar 10 hingga 11 buah lagu. Kali ini agak berbeza kerana saya kini bergerak secara Indie.

“Jadi saya lebih bebas berkarya dan bebas untuk sempurnakan album ini. Malah muzik album kali ini lebih mencerminkan kematangan berkarya saya dan dengan sentuhan band, Zee Avi And The Good Things.

“Zee Avi And The Good Things terdiri daripada saya, Raja Farouk (bass), Jude Macson (gitar), Yuswa Ansari (keyboard) dan AKZ (pengarah muzik serta drum/perkusi). Tentu sahaja penerbitan dan bunyi dalam album ini lebih ‘fresh’. Namun apa yang menarik, semua pemuzik adalah dari Malaysia,”katanya.

Tambah penyanyi berusia 38 tahun ini, dia juga telah menghasilkan single terbaharu berjudul Oyasumi Na Sayang yang menyaksikan kolaborasinya bersama band dari Fukuoka, Jepun, MuchaMuchaM.

“Oyasumi Na Sayang adalah kolaborasi saya bersama band MuchaMuchaM Jepun dan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Jepun.

“Pembikinan lagu ini juga sangat unik kerana semuanya dilakukan secara maya. Mereka berada di Jepun manakala saya pula di Malaysia. Proses kreatifnya bermula dengan karya atau komposisi lagu tanpa melodi dan lirik dari mereka.

“Kemudian saya menyumbangkan melodi dan lirik dalam bahasa Melayu. Dan mereka terima, Alhamdulillah. Menerusinya, terhasil dua versi Oyasumi Na Sayang iaitu versi MuchaMuchaM, manakala versi disko dihasilkan oleh Zee Avi And The Good Things bakal dilancarkan tidak lama lagi,”katanya.

Sementara itu, kata Zee, dia dan MuchaMuchaM turut melancarkan EP yang menampilkan tiga buah lagu dengan dua lagu original dan satu cover yang menyaksikan kemampuannya menyanyi dalam Bahasa Jepun.

Tidak cuma itu, Zee menambah, dia juga sedang aktif membuat persembahan meskipun sibuk dengan pembikinan album ketiganya.

“Saya secara peribadi sangat teruja untuk membuat persembahan dan yangb terbaharu adalah di Axean Festival dan Kuching Jazz Fest kerana ini menjadi panggung perdana buat saya muncul bersama
Zee Avi and The Good Things.

“Selain itu, saya juga akan beradu seni dengan band popular Indonesia, Fourtwenty untuk dua persembahan pada masa terdekat. Sebagai seorang anak seni, saya memang gemar berkolaborasi dengan artis-artis dari luar Malaysia, mahupun jauh atau pun jiran.

“Banyak yang boleh dipelajari dari saudara-saudara kita di Indonesia, terutamanya dalam industri muzik mereka, filosofi mereka, dan juga penghormatan mereka terhadap kesenian yang direka dan penghormatan mereka terhadap komuniti mereka,” katanya.

Sementara itu di luar konteks persembahan, Zee Avi menggunakan pengaruh namanya sebagai individu yang dikenali dengan menganjurkan kutipan amal termasuk yang dilakukan baru-baru ini khas buat kanak-kanak di Gaza dengan kerjasama Mercy Malaysia di BoboKL.

Zee Avi juga menyatakan keterbukaan untuk terus diberi peluang memberi sumbangan terhadap komuniti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya