Tiga penyanyi dikir Kelantan terharu nama semakin dikenali - Utusan Malaysia

Tiga penyanyi dikir Kelantan terharu nama semakin dikenali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mengakui semakin dikenali ramai kini, tiga penyanyi dikir Kelantan, tidak menolak peluang menyertai siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire membantu melonjakkan lagi nama mereka sebagai penyanyi di persada seni.

Menurut Adik Waniey, Fadil Turbo dan Adam ZBP, peluang untuk membuat persembahan bersama skuad Suria tidak seharusnya dilepaskan memandangkan ia juga mampu meningkatkan keyakinan mereka terutama ketika berdepan dengan orang ramai.

Menurut Adik Waniey atau nama sebenarnya, Azmahirawani Nordin, 33, berkata, peluang diberikan itu adalah platform untuk mengembangkan lagi bakat mereka.

“Alhamdulillah, syukur ramai beri maklum balas yang baik dan tak jangka ada yang kenal dan ikuti kami walaupun bukan dari Kelantan. Malah, ada yang tahu lagu kami.

“Bagi saya peluang yang diberikan ini satu platform yang sangat baik untuk perkembangan kerjaya kami,” katanya.

Perkara yang sama turut dipersetujui Fadil Turbo atau nama sebenarnya Mohd Fadil Mohd Noor yang menganggap, pembabitan pada siri jelajah itu telah membuka ruang untuk dirinya lebih dikenali ramai.

“Terima kasih kepada Suria dan Yaya Empire kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami untuk membuat persembahan di semua lokasi.

“Ini adalah peluang dan kesempatan kami untuk lebih dikenali,” katanya.

Seorang lagi, Adam ZBP atau nama sebenarnya Mohd Zuhri Iman Zaidi, 22, berkata, dia agak gementar pada awalnya ketika mahu beraksi di pentas luar dari Kelantan.

“Awalnya rasa gementar, namun lega apabila mendapat sokongan di semua lokasi ini. Sebagai bakat baharu, saya sangat hargai selain mengintai peluang untuk memperkenalkan diri saya dalam bidang nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid berkata, mereka mendapat maklum balas sangat baik daripada pendengar.

“Selain menampilkan artis popular kali ini kami bawakan kelainan dengan kehadiran persembahan penyanyi dikir ini dalam mewarnakan lagi konsert jelajah kami.

“Kesinambungannya akan dijalankan di jelajah Kota Bharu pada 11 dan 12 Oktober ini dengan Pertandingan Nyanyian Lagu Dialek Kelantan menampilkan 10 peserta.

“Kesemua mereka berpeluang merebut hadiah wang tunai tajaan Yaya Empire di mana empat akan bersaing di peringkat final,” katanya.

Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire bakal berlangsung di lokasi terakhir di Kota Bharu, Kelantan menampilkan artis seperti Floor 88, Afieq Shazwan, Baggio Damasutra, Poey Stings dan Sri Budi Jati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya