KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah, saya sihat. Kurus bukan sebab unsur sihir, hanya kawal gula.”
Demikian kata pelakon, Adam Lee selepas berat badannya dilihat susut secara mendadak sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Adam atau nama penuhnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, penurunan berat badannya bukan berpunca daripada penyakit kronik mahupun misteri, sebaliknya dia sedang mengawal pengambilan gula.
“Berat badan turun sebab saya kurangkan pengambilan gula kerana sebelum ini saya adalah pencinta makanan manis dan memang sangat dasyat.
“Pengambilan nasi masih macam biasa cuma pencuci mulut sahaja saya kurangkan selain aktif dengan aktiviti sukan seperti muay thai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, suami kepada pelakon, Sweet Qismina itu juga menyelar dakwaan orang ramai yang menyifatkan perubahan itu disebabkan ilmu hitam dan disihir.
“Saya tidak ada sebarang penyakit atau ‘sakit’ disebabkan orang hantar. Semua itu tiada. Diet ini saya mula sejak sebelum bulan Ramadan lalu kerana ingin jaga kesihatan dan berat badan lebih ideal.
“Daripada berat saya 93kg, kini hanya 74kg.
“Memang ada saja yang bertanya keadaan kesihatan saya kerana semakin kurus. Saya okey dengan penampilan sekarang tetapi cuma kena naikkan sedikit pada bahagian otot,” ujarnya.
Adam turut mengakui keputusan itu diambil selepas menyedari dirinya sudah lama tidak menjaga kesihatan diri dan pemakanan sejak mendirikan rumah tangga.
“Sebenarnya, saya juga terlupa jaga berat badan selepas berkahwin. Kemudian isteri tegur berat badan semakin naik selain melihat kerjaya ramai pelakon lain semakin rancak.
“Semua itu buat saya sedar dan terus ambil keputusan untuk dapatkan berat badan lebih ideal dan kembali ‘fit’,” katanya lagi. -UTUSAN