PETALING JAYA: Penyanyi, Santesh, mengakui dia tidak menyambut perayaan Deepavali tahun ini setelah kehilangan tiga orang ahli keluarga.
Santesh atau Shantesh Kumar, 34, berkata, dia bagaimanapun akan tetap menziarahi rumah kawan dan keluarga terdekat sepanjang hari ini.
“Tahun ini saya kehilangan tiga ahli keluarga iaitu nenek kepada isteri, pak cik dan juga abang saya yang meninggal dunia Januari lalu. Jadi tiada persiapan Deepavali yang dilakukan.
“Namun begitu, kami tetap akan pergi menziarahi rumah saudara mara dan rakan terdekat,” tambahnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi Amalina ini tetap mahu menceriakan suasana di hari Deepavali dengan memuat naik lagu parodi ‘Manasilayo’ yang popular menerusi filem Vettaiyan.
Dalam video yang dikkngsikan menerusi Instagram, Santesh telah mengubah lirik lagu tersebut ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk ‘Manasilayo’.
“Untuk Deepavali ini, saya ada buat lagu parodi sekadar hiburan untuk pendengar.
“Kalau selak media sosial hari ini, semuanya bercakap tentang pertengkaran atau perselingkuhan.
“Jadi dengan hadirnya lagu parodi ini, saya harap penengar boleh melupakan perkara pahit dalam kehidupan mereka,” katanya.
Bercerita mengenai kenangan lucu semasa kecil, pemenang Lagu Rakyat Terbaik bahasa Tamil, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2013 itu mengakui pernah berasa takut setiap kali tiba hari Deepavali.
“Dalam tradisi kami, setiap pagi kami akan mandi minyak. Waktu kecil emak yang tuangkan minyak atas kepala.
“Tapi bila minyak sudah masuk telinga dan kena mata, memang rasa pedih. Telinga macam tersumbat dan mata seperti ada tanah.
“Jadi, automatik saya jadi takut bila menjelang Deepavali. Tapi bila sudah besar, saya semakin tahu apa kebaikan dan fungsinya mandi dari sudut saintifik,” katanya ketawa.
Terdahulu, Santesh mencuri tumpuan apabila lagu parodi yang dimuat naik menerusi Instagram mendapat respons positif daripada peminat.
Rata-rata terhibur dengan parodi tersebut dan menyifatkan penyanyi asal Klang itu seorang yang lucu. -UTUSAN