KUALA LUMPUR : Penerbit dan pelakon, Fauziah Datuk Ahmad Daud bakal terlibat dalam pementasan teater Di Sebalik Topeng terbitan syarikat naungannya, Ogy Ventures & Network Sdn Bhd pada 19 dan 20 Oktober ini.
Karya seni yang mengangkat tema isu kesihatan mental dan penebusan diri itu juga akan diadakan, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP.
Menurut Fauziah yang mesra disapa Ogy, teater ini bakal merungkai cabaran kehidupan yang sering dihadapi oleh ramai individu dalam masyarakat.
“Teater ini bukan sekadar hiburan, ia adalah satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup.
“Setiap watak yang dipersembahkan dalam Di Sebalik Topeng melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” katanya.
Selain itu, tema kesihatan mental yang diketengahkan dalam pementasan ini adalah isu yang amat relevan pada masa kini meskipun sering kali dianggap tabu.
Malah, teater arahan Pengarah Zainorhisyam Samudin juga dapat membantu membuka mata setiap individu untuk mencari bantuan dan memahami bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.
“Saya ingin penonton merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam apa yang mereka hadapi. Setiap daripada kita, pada satu ketika, memakai topeng untuk melindungi diri.
“Tetapi dalam mencari kedamaian, kita perlu belajar untuk membuka topeng itu dan menerima diri kita yang sebenar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zainorhisyam selalu pengarah turut mengakui teruja untuk bekerja dalam naskhah yang memberikan dimensi baru dalam penceritaan teater tempatan.
“Ini adalah satu pementasan yang tidak hanya menghiburkan, tetapi juga mendidik. Melalui watak-watak yang kelihatan rapuh, kita dapat melihat kekuatan yang luar biasa dalam diri setiap individu untuk bangkit daripada kegelapan,” katanya.
Selain memberikan hiburan berkualiti, teater ini juga membuka ruang perbincangan tentang isu-isu sosial yang sering kali dipinggirkan, terutamanya mengenai kesihatan mental.
Selain Ogy, teater yang mendapat sokongan daripada geran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut dibintangi pelakon lain seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar. -UTUSAN